Selain SUV flagship GX, Xpeng turut mempamerkan sedan elektrik premiumnya, P7 2026 menerusi acara Auto China 2026 yang sedang berlangsung di Beijing.
Sebelum ini, kami pernah melaporkan bahawa P7 bakal dipamerkan di KLIMS 2026 yang akan berlangsung di MITEC pada Jun ini. Malah ada juga desas-desus yang menyatakan model ini berpotensi memasuki pasaran ASEAN termasuk Malaysia (bukannya versi P7+ yang lebih sesuai untuk pasaran Eropah), namun perkara ini masih belum mendapat pengesahan dari pengeluarnya sendiri.
Dilancarkan di pasaran China pada Januari lalu, pesaing bagi Tesla Model S, Xiaomi SU7, dan BMW i4 ini dijual pada harga bermula ¥186k (lebih kurang RM107k) hingga ¥198k (RM114k). Ia ditawarkan dengan tiga gred iaitu Long Range (570km), Ultra Long Range (670km) and Performance (615km).

Versi Long Range dan Ultra Long Range menampilkan motor belakang 270kW bersama padanan bateri LFP 75 kWh, sementara varian tertinggi Performance pula merupakan versi AWD yang mempunyai motor kedua berkapasiti 437 kW yang diletakkan di gandar hadapan bersama pek bateri 92.2 kWh, dan mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 4.1 saat.
Walau bagaimana pun, kesemua versi P7 serba baharu ini menggunakan sistem bervoltan tinggi 800-voltan, membolehkan pengecasan antara 10% hingga 80% mampu dicapai dalam 11-12 minit yang berkeupayaan menggunakan pengecas ultra laju 5C.
Bagi dimensinya, P7 2026 ini berukuran 5,071 mm panjang, 1,937 mm lebar, 1,512 mm tinggi dan jarak roda mencecah 3,000 mmm. Dengan jarak roda tersebut, ia memberikan P7 2026 ini ruang but yang luas mencecah 725 liter yang boleh dipertingkatkan hingga 2,200 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.
Rekaan ala fastback coupe dengan bentuk yang sporty dan bumbung landai membuatkan P7 2026 ini nampak lebih agresif dan menonjol berbanding versi terdahulu. Walau pun masih menggunakan pereka yang sama iaitu Rafik Ferrag, tetapi sentuhan rekaannya kini tampil lebih futuristik.
Bahagian hadapannya menampilkan jaluran pencahayan lampu LED dengan lampu utama lebih nipis berbentuk-Y, diserikan dengan bampar yang lebar dan bergaya dengan garisan tajam. Untuk sisinya pula, garisan bumbung ala coupe diberikan dengan tiang-A berwarna hitam menampilkan kesan ala bumbung terapung serta tingkap tanpa bingkai cermin yang menampakkan sentuhan lebih premium. Ia juga diberikan roda bersaiz 20-inci dengan pilihan gentian karbon sama ada kemasan matte atau metalik.
Untuk bahagian belakangnya, ia juga diberikan jaluran lampu LED lebar sepenuhnya, dengan spoiler belakang yang menyerlahkan lagi penampilannya serta menampakkannya lebih lebar dari pandangan belakang.
P7 serba baharu juga ditampilkan dengan versi ‘show-off’ iaitu dengan pintu Scissor ala Lamborghini serta penggayaan yang lebih agresif dan dipadankan bersama roda eksklusif.

Bagi ruang kabinnya, ia menampilkan konsep “Cloudscape” dengan rekaan yang lebih minimalis digabungkan “kokpit AI” berteknologi tinggi. Ia juga diberikan sentuhan premium dengan material suede dan kemasan kayuan atau metalik, dengan pilihan warna dalaman sama ada ungu lembut atau biru dengan serlahan rose-gold.Papan pemukannya lebih kemas tanpa butang fizikal, di mana fungsi dikawal menerusi skrin, arahan suara dan juga sentuhan pada skrin.
Antara ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah skrin sesentuh sentral ‘terapung’ 15.6-inci, kluster instrumen digital 8.8-inci, tempat duduk balutan Nappa, termasuk fungsi larasan kuasa 16-hala, fungsi pemanas dan ventilasi serta mengurut untuk tempat duduk hadapan, sistem audio dengan 23-pembesar suara, pad pengecas tanpa wayar, bumbung kaca panoramik dan AIOS 6.0 smart cockpit.
P7 2026 ini turut dilengkapi sistem pintar XPILOT ASSIST, tujuh beg udara secara standard, kamera berasaskan AI untuk pemanduan di lebuhraya dan bandar, 14 ciri bagi sistem ADAS termasuk AEB, Amaran Pelanggaran Hadapan, Pengelak Pelanggaran Sisi dan Belakang, Bantuan Kekal Lorong, Pemantauan Titik Buta, Kawalan Keluncuran Adaptif (ACC) dan Pembrekan Mitigasi Perlanggaran Sekunder.
Apa yang lebih menarik ialah P7 2026 ini turut diberikan sistem pemanduan autonomous AI yang menggunakan sistem XPeng AI Hawk/XNGP, dengan 11 kamera, tiga penderia radar, 12 penderia ultrasonic dan kesemuanya dikuasakan oleh cip XPeng Turing AI (sehingga 2250 TOPS). Dengan sistem ini, ia memudahkan lagi pemanduan semi-autonomous untuk lebuhraya dan bandar, pemanduan mengikut navigasi serta menukar lorong secara automatik, dan berkeupayaan mengesan objek halangan. Sistem ini lebih kurang sama dengan Tesla Autopilot tetapi telah disuaipadankan untuk jalan di China.
Selain itu, ia juga dilengkapi ciri keselamatan pintar berasaskan AI termasuk pemantauan pemandu (mengesan sekiranya pemandu keletihan dan tidak peka), brek kecemasan pintar dalam kelajuan tinggi, analisis persekitaran mengikut real-time (mengesan pejalan kaki, kenderaan dan objek halangan) dan kemaskini OTA.
Bukan itu sahaja, bagi memantapkan lagi pengendaliannya, P7 2026 dilengkapi prestasi brek yang padu iaitu sekitar 35 meter bagi 100-0 km/j (hingga kenderaan berhenti sepenuhnya), dengan sistem suspensi yang lebih mantap untuk kestabilan pemanduan di laluan yang kasar serta sistem cengkaman dan kawalan kestabilan elektronik.
The post Xpeng P7 2026 di Beijing – pengecas ultra laju 5C 10-80% hanya 11 min, jarak gerak hingga 615 km WLTP appeared first on Paul Tan’s Automotive News.











































