Berita baik untuk warga Selangor yang sering menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan inisiatif khas bagi membantu meringankan kos pengangkutan awam rakyat.
Menurut perkongsian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Facebook rasminya, melalui inisiatif ini, warga Selangor yang layak boleh menikmati subsidi tambang RM30 sebulan selama enam bulan.
Walau bagaimana pun, peluang ini adalah terhad kepada 50,000 pemohon terawal sahaja dan tertakluk kepada syarat serta kelulusan yang ditetapkan.
“Permohonan akan mula dibuka pada 1 Jun 2026, justeru, orang ramai disarankan untuk bersedia lebih awal kerana dijangka menerima sambutan yang tinggi. Rebut peluang lebih awal dengan memuat turun aplikasi NINE dan melengkapkan pengesahan kendiri (eKYC) sekarang,” kata kenyataan terbabit.
Pemberian subsidi tambang ini adalah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan penggunaan bahan api, dalam masa yang sama menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta mengurangkan kos menaiki van DRT, bas ataupun kereta api sehingga akhir tahun ini.
Ia adalah sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 yang memperuntukan sebanyak RM131 juta secara keseluruhan bagi mendepani kesan krisis geopolitik di Asia Barat. Ini termasuklah Kempen Jualan Ehsan Rahmah, Gudang Makanan Selangor, Baucar Kita Selangor, Bantuan Sarapan Percuma Pelajar Sekolah, Bantuan Sokongan Sektor Pertanian, Pemerkasaan Usahawan Koperasi Selangor dan beberapa lagi.
The post Warga Selangor berpeluang nikmati subsidi tambang pengangkutan awam – RM30 sebulan untuk 6 bulan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















