Leapmotor C10

Stellantis Malaysia hari ini mengumumkan bahawa SUV EV segmen-C Leapmotor C10 versi pemasangan tempatan (CKD) kini sudahpun mula diproduksi menerusi kilangnya yang terletak di Gurun, Kedah. Manakala bagi model lebih kecil iaitu SUV segmen-B Leapmotor B10 juga akan di pasang dikilang yang sama bermula dua hingga tiga bulan dari sekarang.

Perkara ini diumumkan sendiri oleh pengarah urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo hari ini ketika berlangsungnya majlis menandatangani operasi pengedaran Leapmotor antara Stellantis Malaysia dan Cycle & Carriage.

“C10 (pemasangan CKD) bermula pada April dan Mei tahun ini, dan saya menjangkakan B10 akan menyusul dalam masa dua hingga tiga bulan,” kata Yeo. Beliau turut menambah bahawa unit-unit yang dipasang di Gurun ini juga “sentiasa ada dalam rancangan” untuk dieksport ke pasaran luar Malaysia, namun kos dan kualiti perlu diselaraskan terlebih dahulu, serta lokalisasi yang lebih menyeluruh juga perlu dibuat lebih awal.

Dalam temubual paultan.org bersama Yeo tahun lalu, beliau menyatakan bahawa Stellantis telah melabur lebih dari RM25 juta untuk kilangnya di Gurun, bagi membolehkan kilang milik penuhnya itu menghasilkan sebanyak 60,000 unit kenderaan setahun.

Leapmotor C10 CKD – pemasangan tempatan di Gurun sudah bermula, diikuti oleh B10 2-3 bulan akan datang

Leapmotor B10

Yeo sebelum ini juga memberitahu paultan.org bahawa selain daripada hakikat bahawa buat masa sekarang Malaysia bukan sahaja tidak mempunyai ekosistem EV dan bateri, malah turut tiada insentif cukai khas di bawah AFTA untuk mengeksport EV ke negara jiran ASEAN. Namun, Stellantis tetap ada perancangan untuk menggunakan keseluruhan kapasiti 60 ribu setahun di Gurun berkenaan (bukan untuk Leapmotor sahaja) untuk pasaran tempatan serta eksport melangkaui pasaran ASEAN.

Yeo juga hari ini mengesahkan bahawa model-model CKD yang dipasang di Gurun kelak akan dijual pada harga yang hampir sama dengan model-model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China, di mana unit-unit tersebut sebelum ini dibawa masuk ke Malaysia tanpa cukai menerusi insentif yang diberikan oleh kerajaan.

Buat masa sekarang Leapmotor C10 Plus 2026 CBU yang dilancarkan pada Februari lalu dijual pada harga RM148,000, sebelum ditolak rebat pelancaran bernilai RM9,000. Manakala Leapmotor B10 CBU yang dilancarkan pada Disember 2025 dijual pada harga bermula RM99,800 hingga RM109,800. Selepas ini Stellantis Malaysia bakal melancarkan pula Leapmotor B03X, atau dikenali sebagai leapmotor A10 di China.

The post Leapmotor C10 CKD – pemasangan tempatan di Gurun sudah bermula, diikuti oleh B10 2-3 bulan akan datang appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts