SUV mampu milik Proton yang diasaskan dari platform Advance Modular Architecture (AMA), iaitu platform sama yang menjadi asas kepada Proton Saga MC3 disahkan bakal diproduksi bermula bulan Oktober tahun ini. Perkara ini bukan diumumkan oleh Proton, sebaliknya salah satu vendor syarikat pengeluar automotif nasional berkenaan iaitu Feytech Holdings Berhad.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, Feytech telahpun dianugerahkan kontrak pembekalan pembalut tempat duduk bernilai RM96.83 juta untuk model baharu yang dikenali dengan kod AMA02, di mana anak syarikatnya iaitu Gosford Leather Industries Sdn Bhd telah dilantik untuk menjadi pembekal tempat duduk OEM bagi model berkenaan di bawah surat penerimaan yang merangkumi tempoh selama 84 bulan.

Feytech turut menyatakan bahawa AMA02 yang dikhabarkan bakal digelar sebagai Saga Cross dalam pasaran kelak bakal dilancarkan pada lewat tahun ini, dan ia akan bersaing dalam pasaran SUV segmen-A bagi berhadapan dengan model-model seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V.

Proton Saga Cross (AMA02) – pembekal sahkan mula produksi Oktober, bakal lancar lewat tahun ini

“Kontrak ini merupakan lanjutan natural hubungan kami yang telah lama terjalin dengan Proton, yang bermula sejak tahun 2012. Feytech telah berkembang seiring dengan industri automotif negara dan kami berbangga untuk menyokong pengeluar kereta nasional itu ketika ia memasuki babak seterusnya dalam pengembangan produknya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Feytech, Connie Go.

Ketika berlangsungnya acara Proton Tech Showcase di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) di Subang Jaya Disember tahun lalu, Proton mengesahkan bahawa selepas Saga MC3 akan ada tiga model lagi disahkan akan dibina menerusi platform AMA, di mana setakat ini ia hanya dikenali sebagai AMA02, AMA05 dan AMA06.

Proton menyatakan antara tiga model tersebut, ia akan tampil sebagai SUV dan juga MPV. Tetapi apa yang menarik, ketika pembentangan berkenaan enjin 1.5L empat-silinder i-GT, Proton ada mendedahkan sedikit pembayang berkenaan salah satu SUV yang akan diasaskan dari platform AMA itu.

Proton Saga Cross (AMA02) – pembekal sahkan mula produksi Oktober, bakal lancar lewat tahun ini
Proton Saga Cross (AMA02) – pembekal sahkan mula produksi Oktober, bakal lancar lewat tahun ini

Pembayang berkenaan ditemui pada slaid barisan keluarga enjin 1.5L i-GT, di mana selepas Saga MC3, enjin dalam varian NA dengan sistem suntikan bahan api pada port kemasukan (PFI) tersebut akan turut digunakan pada sebuah model SUV baharu.

Tidak seperti Saga MC3 di mana ia datang dengan pilihan kotak gear sama ada CVT atau empat-kelajuan konvensional 4AT, unit rangkaian kuasa yang bakal dimuatkan pada SUV baharu tersebut hanyalah transmisi 4AT. Maklumat-maklumat yang didedahkan ini seakan menguatkan khabar angin yang bertiup sebelum ini bahawa model dengan kod AMA02 yang akan diperkenalkan oleh Proton selepas ini adalah SUV kompak yang akan dikenali dengan nama Proton Saga Cross.

Jadi sekiranya model ini benar-benar dijelmakan kelak, ia akan dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm serta hanya hadir dengan kotak gear 4AT dari Aisin. Berdasarkan perincian-perincian yang telah diberikan pada Saga MC3, tak mustahil Saga Cross ini juga mungkin akan hadir dengan kelengkapan keselamatan yang merangkumi enam-beg udara dan juga pelbagai fungsi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

The post Proton Saga Cross (AMA02) – pembekal sahkan mula produksi Oktober, bakal lancar lewat tahun ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts