Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa bekalan bahan api negara kekal terjamin dan mencukupi. Namun, kenaikan harga bahan api di peringkat global terus membebankan kewangan kerajaan dalam usaha untuk mengekalkan harga bersubsidi Budi95 pada kadar RM1.99 seliter, lapor Bernama.
“Bekalan bahan api terjamin, tetapi harganya semakin meningkat. Ini disebabkan oleh faktor luaran yang tidak dapat kita kawal. Dan disebabkan itu, kita terpaksa berdepan dengan cabaran kenaikan bahan api ketika ini,” katanya dalam ucapan di perhimpunan bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, hari ini.
Walaupun kos penghantaran dan insurans menjadi lebih tinggi akibat konflik Asia Barat — yang menjejaskan harga bahan api dunia — Malaysia masih dapat memperoleh bekalan yang mencukupi hasil daripada hubungan baik dengan Iran, Rusia, Turkmenistan dan Uzbekistan, kata Anwar.

“Kita bernasib baik. Malaysia menjadi antara negara ASEAN yang mempunyai bekalan bahan api yang terjamin. Malaysia masih mengekalkan harga bagi RON 95 (petrol). Kita hanya mengurangkan kuota yang diberikan, daripada 300 liter kepada 200 liter disebabkan terbeban dengan kos subsidi petrol dan diesel yang tidak menentu,” memetik laporan The Star.
Beliau menambah, petrol RON 95 Malaysia yang dijual RM1.99 seliter adalah antara yang termurah di dunia, dan hanya diatasi oleh beberapa negara seperti Brunei. “Jika harga di peringkat global meningkat mendadak, (subsidi kerajaan) boleh melebihi angka RM6 bilion sebulan. Pada tahap semasa, kita memerlukan kira-kira RM5 bilion sebulan — bayangkan untuk tempoh 10 bulan, itu bersamaan dengan angka RM50 bilion yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan,” katanya.
“Saya sedang mengamati dari dari dekat situasi semasa di Selat Hormuz ketika ini. Boleh dilihat kesesakan di sana. Selat itu sempit, sukar untuk memastikan keselamatan kapal, terutamanya dengan tekanan daripada Amerika Syarikat dan Iran,” sambung Anwar, sambil menambah bahawa kapal Malaysia, termasuk kapal yang dikendalikan oleh Petronas, adalah antara banyak kapal-kapal lain yang melalui perairan tersebut.
The post Bekalan bahan api Malaysia terjamin, tetapi kewangan terbeban untuk kekalkan subsidi Budi95 RM1.99 seliter appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















