Selepas Proton eMas 7 PHEV, kini giliran eMas 5 pula menerima pilihan warna badan hijau – berbanding abangnya yang diberikan warna Emerald Green yang nampak lebih sporty dan garang, eMas 5 yang lebih comel pula menerima warna Jade Green yang lebih lembut.
Unit dengan warna badan baharu ini akan ditunjukkan buat pertama kali kepada umum di Penang Autoshow 2026 yang berlangsung di Penang Waterfront Convention Centre dibuka kepada umum bermula esok.
Warna baharu ini tidak akan menggantikan mana-mana warna sedia ada, di mana eMas 5 masih boleh dipilih dengan pilihan warna badan Moonstone White, Graphite Silver dan Slate Grey, serta dua warna khas hanya untuk varian Premium iaitu Marble Cream dan Quartz Rose. Pembeli varian Premium juga turut didatangkan dengan bumbung berwarna hitam serta pilihan tema kabin berwarna Alabaster White sekiranya memilih salah satu dari warna badan khas yang dinyatakan tadi.
Tiada sebarang penambahan harga diperlukan sekiranya anda mahukan warna Jade Green baharu ini. Jadi Proton eMas 5 kekal dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM56,800 untuk varian asas Prime dan RM69,800 untuk varian tertinggi Premium.
Proton eMas 5 merupakan model pertama Proton yang ditawarkan sebagai sebuah model pacuan roda belakang dengan motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Untuk varian Premium, motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa 116 PS (85 kW) dan tork maksima 150 Nm, dipacu oleh bateri LFP keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj.
Manakala bagi varian Prime, motor elektrik yang dibekalkan hanya berkuasa 79 PS (58 kW) dan tork maksima 130 Nm, menerima bekalan kuasa dari bateri LFP lebih kecil berkapasiti 30.12 kWj.
Konfigurasi unit rangkaian kuasa ini membolehkan eMas 5 Premium memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan 135 km/j serta jarak perjalanan 325 km (WLTP) dengan satu cas bateri penuh, manakala eMas 5 Prime pula kelajuan maksimanya dihadkan pada 125 km/j dan boleh bergerak sejauh 225 km (WLTP) dengan satu cas penuh.
Untuk mengecas pula eMas 5 boleh menerima pengecas AC 6.6 kW dan juga penegcas pantas DC sehingga 71 kW yang membolehkan cas dari 30%-80% dipenuhkan dalam masa 21 minit. Kami telahpun memandu uji eMas 5 dalam varian Premium dan laporannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.
The post Proton eMas 5 kini dapat warna Jade Green untuk semua varian tanpa tambahan harga, dalaman hitam appeared first on Paul Tan’s Automotive News.













































