PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan perkembangan terkini mengenai projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan di laluan Senai Utara – Simpang Renggam, Johor yang terus menunjukkan momentum kukuh. Setakat 31 Mac 2026, projek pelebaran lebuhraya terbabit yang membabitkan Pakej 1A bagi laluan Kulai-Sedenak telah melepasi 50.12% kemajuan, sekali gus memperkukuh kemajuan keseluruhan projek.

Sementara itu, PLUS turut berkata, Pakej 1B (Senai Utara – Kulai) dan Pakej 2 (Sedenak – Simpang Renggam) masing-masing mencatat kemajuan 13.44% dan 9.10%, selari dengan fasa pembinaan semasa yang sedang dilaksanakan.

“Setakat 31 Mac 2026, kesemua pakej bergerak mengikut jadual. Ia mencerminkan pelaksanaan yang berdisiplin, koordinasi yang berkesan serta pemantauan rapi di semua tapak projek. Projek ini melibatkan pelebaran lebuh raya daripada dua lorong kepada tiga lorong bagi setiap arah dan disasarkan siap sepenuhnya menjelang Suku Ketiga 2028.

“Apabila siap kelak, projek ini dijangka melancarkan aliran trafik di laluan kritikal dan berimpak tinggi, mengurangkan tempoh perjalanan di antara Senai Utara dan Simpang Renggam, meningkatkan tahap keselamatan pengguna lebuh raya serta menyokong pertumbuhan ekonomi Johor sebagai hab logistik dan industri,”kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Tambahnya, projek ini juga dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam memastikan rangkaian lebuh raya negara kekal efisien dan berdaya tahan dalam menghadapi peningkatan mobiliti masa hadapan.

The post Projek pelebaran Lebuhraya PLUS di Johor melibatkan Pakej 1A capai kemajuan 50.12% setakat 31 Mac 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts