Mercedes-Benz EQS kini menerima satu lagi facelift, kira-kira dua tahun selepas model perdana jenama Jerman itu diperbaharui pada April 2024. Kali ini, perubahan yang dibawakan bukan sahaja lebih ketara dari segi rekaan, malah juga jauh lebih signifikan pada aspek peningkatan teknologi.
Perubahan paling besar melibatkan sistem elektrikal baru berasaskan seni bina 800 volt, menggantikan sistem 400 volt yang digunakan sejak pelancarannya pada tahun 2021. Dengan peningkatan ini, EQS kini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW, berbanding hanya 200 kW sebelum ini.
Namun begitu, keupayaan maksimum ini hanya tersedia untuk tiga varian utama iaitu EQS450+, EQS500 4Matic dan EQS580 4Matic. Sekiranya pengecas 800 volt tidak tersedia, sistem bateri boleh membahagikan dirinya secara maya untuk membolehkan pengecasan sehingga 175 kW menggunakan stesen 400 volt.
Untuk bateri, kapasiti tenaga boleh guna kini ditingkatkan kepada 122 kWh berbanding 118 kWh sebelum ini hasil penambahbaikan sel kimia. Ini sekaligus memberikan jarak pemanduan yang lebih jauh, namun peningkatan ini juga terhad kepada varian yang dinyatakan tadi.
Berikut adalah varian yang ditawarkan untuk EQS facelift:
Mercedes-Benz EQS400
- Output motor elektrik: 367 PS (362 hp atau 270 kW) dan 505 Nm; RWD
- Masa 0-100 km/j: 6.2 saat
- Laju maksimum: 210 km/j
- Bateri: 112 kWh nickel manganese cobalt (NMC)
- Jarak gerak: 817 km (WLTP)
- Pengecasan AC: 11 kW; pilihan 22 kW
- Pengecasan DC: 330 kW; 305 km dalam 10 minit
Mercedes-Benz EQS450+
- Output motor elektrik: 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 505 Nm; RWD
- Masa 0-100 km/j: 5.9 saat
- Laju maksimum: 210 km/j
- Bateri: 122 kWh nickel manganese cobalt (NMC)
- Jarak gerak: 926 km (WLTP)
- Pengecasan AC: 11 kW; pilihan 22 kW
- Pengecasan DC: 350 kW; 320 km dalam 10 minit
Mercedes-Benz EQS500 4Matic
- Output motor elektrik: 476 PS (469 hp atau 350 kW) dan 750 Nm; AWD
- Masa 0-100 km/j: 4.5 saat
- Laju maksimum: 210 km/j
- Bateri: 122 kWh nickel manganese cobalt (NMC)
- Jarak gerak: 876 km (WLTP)
- Pengecasan AC: 11 kW; pilihan 22 kW
- Pengecasan DC: 350 kW; 305 km dalam 10 minit
Mercedes-Benz EQS580 4Matic
Barisan model turut diperluaskan dengan kehadiran varian baru EQS400, yang dilengkapi bateri 112 kWh dan menyokong pengecasan pantas sehingga 330 kW. Walaubagaimanapun, semua varian masih menggunakan pengecas AC binaan dalam 11 kW sebagai standard, dengan penawaran pilihan naik taraf kepada 22 kW.
Mercedes-Benz turut memperkenalkan unit pacuan elektrik baru yang lebih kompak, cekap dan berkuasa. Setiap varian dilengkapi motor elektrik belakang bersama transmisi dua kelajuan yang membolehkan pecutan pantas sebelum beralih ke gear kedua untuk kecekapan yang lebih baik pada kelajuan tinggi.
Bagi varian 4Matic, motor tambahan di hadapan dilengkapi fungsi Disconnect Unit yang membolehkan ia dinyahaktifkan secara automatik untuk menjimatkan tenaga apabila tidak diperlukan.
Selain itu, keupayaan penjanaan semula tenaga kini dipertingkatkan daripada 290 kW kepada 385 kW, manakala bateri turut menyokong fungsi vehicle-to-grid dan vehicle-to-home. Ini bermakna kenderaan bukan sahaja boleh dicas, malah boleh menyalurkan tenaga kembali ke grid elektrik atau ke rumah.
Satu lagi inovasi utama ialah pengenalan sistem stereng sepenuhnya tanpa sambungan mekanikal atau steer-by-wire, yang bakal ditawarkan sebagai pilihan beberapa bulan selepas pelancaran. Sistem ini hanya memerlukan putaran stereng sebanyak 170 darjah dari hujung ke hujung, sekaligus membolehkan penggunaan stereng jenis yoke yang lebih kompak.
Tanpa sambungan fizikal antara stereng dan roda, kawalan dilakukan sepenuhnya oleh motor elektrik, sekaligus menghapuskan getaran daripada permukaan jalan yang tidak rata. Bagi memastikan keselamatan, sistem ini dilengkapi dua set komponen sokongan seperti penukar DC-DC, bekalan kuasa dan litar komunikasi.
Jika salah satu gagal berfungsi, sistem sandaran akan mengambil alih supaya kawalan kenderaan kekal selamat. Pilihan ini turut hadir bersama sistem stereng roda belakang sehingga 10 darjah, berbanding 4.5 darjah sebagai standard.
Dari sudut bantuan pemanduan, EQS dilengkapi pelbagai sistem ADAS yang disokong oleh sepuluh kamera luaran, radar serta sensor ultrasonik. Di pasaran Eropah, pakej MB.Drive Standard hadir dengan fungsi seperti kawalan jarak automatik, manakala pakej tambahan menawarkan ciri bantuan stereng dan penukaran lorong. Sistem parkir juga dipertingkatkan dengan keupayaan parkir lebih pantas serta fungsi parkir menyerong.
Suspensi udara Airmatic turut ditala semula untuk keselesaan lebih baik, manakala teknologi komunikasi car-to-X membolehkan kenderaan berkongsi maklumat dengan kenderaan lain mengenai keadaan jalan di hadapan.
Dari segi reka bentuk, model facelift ini tampil lebih menonjol berbanding versi sebelumnya. Bonet kini dilengkapi elemen ‘powerdomes’ yang memberikan imej lebih dinamik, manakala gril hadapan direka lebih menonjol dengan kemasan panel hitam bersama jalur krom serta corak bintang bercahaya. Pilihan pakej AMG Line pula memberikan penampilan lebih sporty dengan rekaan gril berbeza.
Lampu hadapan kini menampilkan grafik lampu nyalaan siang berbentuk bintang, selari dengan identiti terkini Mercedes-Benz. Sistem pencahayaan Digital Light generasi baru turut meningkatkan pencahayaan sehingga 40 peratus sambil mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 50 peratus. Jalur lampu hadapan dan belakang juga direka lebih jelas, dengan elemen heliks yang disepadukan pada lampu belakang.
Di ruang kabin, perubahan tidak terlalu ketara kecuali pilihan stereng yoke. Antara penambahbaikan termasuk pemanas tali pinggang keledar serta beg udara khas untuk penumpang belakang. Sistem infotainmen MBUX Hyperscreen masih dikekalkan dengan tiga paparan utama, manakala penumpang belakang turut mendapat dua skrin tambahan bersaiz 13.1 inci.
Turut diberi perhatian ialah penapis udara HEPA yang mampu menapis lebih 99.65 peratus zarah bagi memastikan kualiti udara dalam kabin sentiasa bersih. Bagi pelanggan yang mahukan sentuhan eksklusif, program Manufaktur menawarkan pelbagai pilihan penyesuaian tambahan mengikut citarasa masing-masing.
The post Mercedes-Benz EQS facelift 2026 diperkenal – 800V, sistem stereng steer-by-wire, WLTP sehingga 926 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
































