Geely telah melancarkan unit rangkaian kuasa hibrid baharu yang dikenali sebagai i-HEV. Sistem ini bakal dilengkapi pada model-model termasuk sedan Preface (Xingrui), SUV Monjaro (Xingyue L), Emgrand dan Boyue (dua model terakhir dikenali masing-masing sebagai Proton S70 dan X70 bagi generasi sebelumnya) bermula tahun ini, lapor CarNewsChina yang memetik laman Autohome dan ITHome.

Unit rangkaian kuasa i-HEV ini masih hadir dengan barisan enjin dari keluarga BHE dalam versi 1.5NA 1.5TD (dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus) dan juga 2.0TD, tetapi ia telah diperhalusi bagi mencapai kecekapan haba yang didakwa mencapai 48.4%.

Sebagai perbandingan enjin 1.5 liter NA untuk sistem plug-in hybrid (PHEV) pada Geely Galaxy Starship 7 (atau Proton eMas 7 PHEV di Malaysia) mencatatkan kecekapan suhu 46.5%. Sistem i-HEV ini dipadankan dengan unit motor elektrik 11-dalam-1 berkuasa 313 PS, membolahkan ia memecut dari 0-30 km/j (ya, betul, kami tak salah tulis) hanya dalam masa 1.8 saat.

Walau bagaimanapun Geely menyatakan fokus pada unit rangkaian kuasa i-HEV ini adalah terhadap kecekapan bahan api, bukannya prestasi. Menurut Geely, sistem pengurusan kuasa i-HEV menggunakan asas AI membolehkan ia mencapai penggunaan bahan api gabungan 2.22 liter setiap 100 km (45 km setiap liter) yang diiktiraf oleh Guinness, menerusi ujian lebuhraya yang dibuat pada Emgrand i-HEV, lapor Reuters.

Sistem i-HEV ini juga mencatatkan 3.98 liter setiap 100 km (25 km setiap liter) pada Preface i-HEV dan 4.75L/100 km (21 km/L) pada Monjaro i-HEV, di mana kedua-duanya diuji dalam kitaran WLTP.

Buat masa sekarang Geely, bersama jenama-jenama China yang lain giat menawarkan sistem PHEV sebagai alternatif EV untuk mereka yang masih mempunyai masalah terhadap fasiliti pengecasan atau mereka yang masih mempunyai range anxiety. Namun bagi sistem PHEV, baterinya masih perlu dicas seperti EV bagi memberikan kecekapan bahan api yang paling optimum.

Nampaknya dengan pengenalan sistem i-HEV ini Geely kini menyasarkan untuk menawarkan sistem hibrid yang lebih mudah untuk digunakan – masih cekap walaupun tidak perlu dicas semula seperti EV. Adakah Proton akan menerima sistem yang sama bagi model-model akan datang?

The post Geely lancar sistem hibrid i-HEV – 2.22 l/100km, kecekapan suhu 48.4%; pilihan 1.5 NA, 1.5TD, 2.0TD appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts