Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke, menasihati Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar membatalkan penangguhan sementara perkhidmatan tukar hak milik (THM) kenderaan melalui platform dalam talian.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkenaan penangguhan sementara perkhidmatan dalam talian untuk urusan tukar hak milik seperti yang dilaporkan oleh media. JPJ telah memaklumkan kepada MOT berkenaan penyalahgunaan dan penipuan yang berlaku dalam sistem pertukaran hak milik yang menyebabkan liabiliti yang perlu ditanggung oleh JPJ. Justeru, JPJ perlu membuat penambahbaikan sistem dalam talian pada kadar yang segera.

“Namun, saya telah menasihati JPJ supaya memastikan kerja-kerja penambahbaikan sistem tidak mengganggu urusan harian pengguna-pengguna biasa dan tidak menyebabkan kesesakan besar di pejabat-pejabat JPJ. JPJ bersetuju untuk mengembalikan perkhidmatan online untuk urusan tersebut serta merta dan sebarang penangguhan sistem untuk kerja-kerja penambahbaikan hanya akan dilaksanakan semasa cuti panjang pada hujung minggu ini,” kata Loke menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

Lewat malam tadi, JPJ mengumumkan penangguhan sementara urus niaga tukar hak milik kenderaan melalui saluran dalam talian termasuk portal awam, kiosk serta rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd. berkuat kuasa hari ini, 25 Mei 2026.

JPJ batalkan penangguhan perkhidmatan tukar hak milik kenderaan melalui platform dalam talian – Loke

Menurut Aedy Fadly, langkah tersebut dilaksanakan sebagai tindakan kawalan serta-merta JPJ susulan penerimaan beberapa aduan rasmi serta melalui media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilaksanakan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.

Katanya, semua urusan THM kenderaan bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat hendaklah dilaksanakan melalui kaunter Pejabat JPJ.

Jadi, orang ramai boleh meneruskan urusan tukar hak milik kenderaan secara dalam talian melalui platform yang disediakan. Cuma, kena lakukannya dalam tempoh waktu bekerja kerana seperti yang Menteri Pengangkutan katakan, kerja-kerja penambahbaikan sistem berkenaan hanya akan dilaksanakan sepanjang cuti panjang hujung minggu ini.

The post JPJ batalkan penangguhan perkhidmatan tukar hak milik kenderaan melalui platform dalam talian – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts