Hyundai Motor Malaysia (HMY) hari ini mengumumkan bahawa dua model EV prestasi N iaitu Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N kini sudahpun boleh ditempah. Masih belum ada harga rasmi untuk kedua-dua model ini, namun HMY memberikan harga anggaran RM450,000 untuk Ioniq 5 N dan RM460,000 untuk Ioniq 6 N. Seperti yang diumum sebelum ini, kedua-dua model tersebut dijangka akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini.
Pengumuman ini dibuat ketika berlangsungnya Penang Autoshow 2026, di mana acara yang berlangsung di Penang Waterfront Convention Centre tersebut akan dibuka kepada umum bermula esok. Walau bagaimanapun, kelibat sedan Ioniq 6 N masih belum kelihatan dan HMY masih hanya menayangkan Ioniq 5 N di mana hatchback tersebut sudahpun beberapa kali membuat kemunculan di sini sejak 2024, ketika itu di bawa oleh pengurusan lama Hyundai di Malaysia iaitu Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM).
Menurut HMY, setiap pelanggan yang menempah mana-mana model N ini akan menerima barangan koleksi asli Hyundai N yang bernilai RM2,000. Tempahan hanya boleh dibuat menerusi pengedar-pengedar Hyundai terpilih iaitu Sime Darby Auto Hyundai Sdn Bhd (Central), Goh Brothers Motor Sdn Bhd (Utara) dan Heng Lian Enterprise Bhd (Malaysia Timur). HMY akan mengumumkan lebih banyak pengedar yang layak untuk mengambil tempahan model istimewa ini selepas ini.
Hyundai Ioniq 5 N ini diasaskan dari crossover EV Ioniq 5 standard, diberikan prestasi dan juga rupa yang lebih agresif. Ia menampilkan badan 50 mm lebih lebar dan ia 20 mm lebih rendah yang terhasil kerana ia memerlukan tayar dan juga diffuser belakang yang lebih lebar untuk prestasi pemanduan yang lebih baik.
Kerangka Ioniq 5 N ini juga telah dipertingkat. Berbanding Ioniq 5 biasa, kerangka Ioniq 5 N ini menerima 42 titik kimpalan yang lebih banyak bersama bahan perekat badan 2.1 meter lebih panjang. Cagak-cagak motor elektrik dan bateri juga dipertkuatkan, manakala subframe belakang dan hadapan juga dipertingkat dengan ketegaran sisi lebih kuat.
Untuk unit rangkaian kuasa, Ioniq 5 N yang masih diasaskan dari platform E-GMP ini menerima dua buah motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang – jadi Ioniq 5 N ini merupakan jentera produksi jalan raya pertama Hyundai N yang menampilkan sistem AWD, memberikan peluang bagi sayap perlumbaan itu memindahkan pengetahuan mereka dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang telah disertai sejak 2014 kepada model produksi yang dijual di bilik pameran.
Kedua-dua motor berkenaan dipadankan pada gandar pacuan berintegrasi (IDA) yang diinspirasikan dari jentera WRC sebenar, bagi memastikan ia tahan asakan dari motor elektrik berkuasa tinggi. Motor yang memacu gandar hadapan menghasilkan kuasa 226 PS, manakala motor pada gandar belakang pula berkuasa 385 PS.
Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa gabung 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).
Hyundai N turut memberikan fungsi N Drift Optimizer pada Ioniq 5 N. Menerusi fungsi ini, pemandu dapat melakukan aksi drift dengan lebih lama, malah turut boleh memulakan drift dengan teknik clutch kick seperti jentera enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang yang diberikan kotak gear manual menerusi fungsi Torque Kick Drift.
Antara perincian menarik yang turut disertakan pada Ioniq 5 N ini termasuk sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT.
Bagi menghasilkan N Active Sound tersebut, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang.
Manakala bagi Hyundai Ioniq 6 N, ia adalah model EV kedua Hyundai N yang didedahkan pertama kali peringkat global di Goodwood Festival of Speed pada Julai tahun lalu. Diasaskan dari sedan EV Ioniq 6 biasa, model ini turut menerima semua yang diberikan pada Ioniq 5 N.
GALERI: Hyundai Ioniq 5 N di Penang Autoshow 2026
The post Hyundai Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N sudah boleh ditempah di Malaysia – anggaran harga RM450k hingga RM460k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.











































