Model konsep terbaru daripada Geely, iaitu Geely Galaxy Light 2nd Generation Concept, telah membuat penampilan global pertama di Auto China 2026. Seperti namanya, ia merupakan kesinambungan kepada konsep Galaxy Light yang diperkenalkan pada tahun 2023, dan memberi bayangan kepada model sedan flagship masa depan jenama tersebut.
Berbanding versi terdahulu, rekaan konsep generasi kedua ini dilihat lebih realistik dan hampir kepada model produksi. Ia kini menampilkan gril hadapan jenis “waterfall” yang lebih konvensional, rekaan rim yang tidak terlalu ekstrem serta kehadiran komponen praktikal seperti cermin sisi dan pemegang pintu.
Dari sudut profil, perubahan ketara dapat dilihat apabila reka bentuk fastback dengan muncung rendah ala kereta sport sebelum ini digantikan dengan bentuk sedan tiga kotak yang lebih tegak dan elegan. Pendekatan ini memberikan imej lebih formal dan mewah, sesuai dengan peranannya sebagai model utama dalam barisan Galaxy, malah mengingatkan kepada gaya sedan mewah seperti Hongqi.
Geely menggambarkan model ini dengan pelbagai istilah seperti “kemewahan sofistikated”, “rekaan China dengan estetika global” serta “keindahan megah dan elegan”, mencerminkan keyakinan tinggi industri automotif China dalam menghasilkan model premium bertaraf dunia.
Walaupun banyak perubahan dilakukan, beberapa elemen unik daripada konsep asal masih dikekalkan. Antaranya ialah pintu jenis “suicide”, walaupun pintu hadapan tidak lagi kelihatan mempunyai mekanisme bukaan ke atas seperti sebelum ini. Ruang dalaman pula masih mengekalkan sentuhan futuristik dengan susun atur empat tempat duduk serta jalur pencahayaan LED yang menghiasi panel pintu.
Inspirasi rekaan dalaman dikatakan diambil daripada pemandangan cahaya pagi di Tasik Barat Hangzhou, dengan penggunaan bahan premium seperti kayu, kristal dan semula jadi. Kabin ini turut dilengkapi kawalan suhu pelbagai zon serta tempat duduk yang diinspirasikan daripada konsep “Chinese Chair”.
Konsol tengah pula menampilkan rekaan unik digelar “Rippling Collection”, manakala elemen hiasan tradisional seperti corak “Jiwen” turut diterapkan bagi menonjolkan identiti budaya. Sistem audio yang dinamakan “Three Pools Mirroring the Moon” pula menjadi antara ciri paling menarik, menjanjikan pengalaman bunyi yang imersif dan mewah.
Ketika ini, model seperti Galaxy E8 atau Starshine 8 merupakan sedan paling premium dalam barisan Geely. Namun, dengan kemunculan konsep Galaxy Light generasi kedua ini, tidak mustahil ia bakal menjadi asas kepada model produksi baharu seperti Galaxy E9 atau Starshine 9 pada masa hadapan, sekaligus mengangkat lagi imej jenama dalam segmen sedan mewah.
The post Geely Galaxy Light 2nd Generation Concept buat penampilan pertama di Beijing – petunjuk sedan E9? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























