Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mempertahankan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap sebuah pengendali bas ekspres yang baru-baru ini mengumumkan penamatan perkhidmatannya di Kuala Lumpur, dengan menyatakan bahawa syarikat tersebut telah diberikan tempoh hampir lima bulan untuk berpindah ke terminal berlesen tetapi gagal mematuhinya.
“Tempoh peralihan ini memberikan masa yang mencukupi kepada pengendali yang terlibat untuk mengenal pasti dan berpindah ke terminal atau hab pengangkutan yang dilesenkan. Memandangkan pengendali berkenaan masih tidak menunjukkan sebarang langkah untuk mematuhi arahan tersebut, APAD telah mengeluarkan arahan penguatkuasaan pada Mei 2026 bagi memastikan pematuhan undang-undang dikuatkuasakan sepenuhnya,” kata APAD menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Walaupun nama pengendali itu tidak dinyatakan oleh APAD, tetapi umum mengetahui isu berkenaan melibatkan syarikat bas Aeroline. Pada 30 Mei lalu, syarikat itu secara rasmi mengumumkan pengunduran operasinya dari Kuala Lumpur dengan alasan bahawa arahan untuk menggunakan lokasi alternatif yang dicadangkan telah meletakkannya dalam keadaan yang sukar dan tidak praktikal bagi para penumpangnya di Kuala Lumpur.
Isu ini bermula tahun lalu apabila syarikat tersebut diarahkan supaya menghentikan penggunaan lokasi yang tidak berlesen dan memindahkan operasinya ke kemudahan yang mempunyai lesen sah. Moratorium penguatkuasaan sementara kemudiannya diberikan selepas Corus Hotel Kuala Lumpur City Centre menamatkan kerjasamanya dengan syarikat itu pada Januari lalu susulan pengambilalihan tapak berkenaan untuk tujuan pembangunan semula.

Terdahulu media melaporkan bahawa Aeroline kemudiannya telah memindahkan operasinya buat sementara waktu ke Tun Razak Exchange (TRX). Namun, satu arahan yang dikeluarkan pada 13 Mei lalu mengehadkan operasi perkhidmatan kepada tiga lokasi yang diluluskan, iaitu 1 Utama, Lalaport dan IOI City Mall Putrajaya. Syarikat itu menyatakan bahawa Lalaport, satu-satunya lokasi yang diluluskan di pusat bandar, mengenakan caj komersil yang akan mendorong kenaikan tambang.
APAD berkata bahawa walaupun tempoh yang mencukupi telah diberikan untuk mematuhi arahan tersebut, syarikat itu masih enggan berpindah ke mana-mana terminal atau hab pengangkutan yang berlesen. Agensi itu turut menjelaskan bahawa TRX tidak pernah diluluskan sebagai terminal atau hab pengangkutan berlesen, dan tiada permohonan pernah dikemukakan oleh pihak pengurusannya untuk tujuan tersebut. Menurut APAD lagi, sesuatu lokasi tidak secara automatik menjadi terminal yang diluluskan hanya kerana telah digunakan dalam tempoh yang lama.
APAD memaklumkan bahawa satu arahan penguatkuasaan telah dikeluarkan pada bulan lalu (19 Mei) selepas pengendali berkenaan gagal mengambil tindakan yang sewajarnya. Agensi itu menambah bahawa dasar penguatkuasaan tersebut, yang terpakai kepada semua pengendali bas ekspres, bertujuan meningkatkan keselamatan penumpang, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.
Selain tiga lokasi yang dinyatakan sebelum ini, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) juga merupakan lokasi yang diluluskan untuk operasi perkhidmatan bas ekspres.
The post Aeroline telah diberikan tempoh mencukupi untuk berpindah ke lokasi yang diluluskan – APAD appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















