Selepas dipamerkan dan tempahannya dibuka Penang Autoshow 2026 akhir bulan lalu, GWM Malaysia hari ini mengumumkan bahawa versi hibrid untuk Tank 300 iaitu Tank 300 HEV secara rasmi dilancarkan pada pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM259,800, atau hampir RM10k lebih mahal berbanding versi petrol penuh Tank 300 yang telah dilancarkan di sini pada Julai 2024.
Bagi versi hibrid ini, ia digerakkan dengan enjin 2.0 liter turbo yang dipadankan bersama transmisi automatik hibrid sembilan-kelajuan dengan motor elektrik 106 PS/268 Nm yang menerima kuasa dari bateri terner litium 1.67 kWj, menghasilkan kuasa keseluruhan 347 PS dan tork maksima 648 Nm. Sebagai perbandingan versi petrol penuh diberikan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 220 PS/380 Nm digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.
Walaupun dibantu oleh kuasa elektrik, Tank 300 HEV ini masih menerima sistem pacuan empat roda dengan mod Crawl bagi membolehkan ia mendaki dengan sudut maksimum 66%, kemampuan meredah air dengan kedalaman 700 mm, serta tujuh mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport, Snow, Mud, Sand, dan 4L – kurang dua mod berbanding versi ICE penuh iaitu 2H dan 4H.
Versi hibrid ini juga masih menampilkan sudut pelepasan 34-darjah, sudut mendekat 33-darjah dan sudut ramp 23-darjah, sama seperti versi petrol penuh.
Senarai kelengkapan juga masih sama untuk versi HEV ini di mana ia diberikan sistem pendingin hawa automatik dengan corong udara di belakang, tempat duduk depan larasan kuasa dengan ciri urut untuk pemandu, balutan kerusi kulit Nappa, sistem bunyi Infinity dengan sembilan-pembesar suara, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, bumbung suria dan lampu suasana kabin 64-warna. Apa yang lain, versi HEV ini menerima perincian tambahan iaitu fungsi bantuan parkir automatik bersama aplikasi sokongan.
Menerusi aplikasi yang dibekalkan tersebut ia menampilkan fungsi kunci/buka kunci untuk pintu, tutup tingkap dan bumbung suria, paparan maklumat sistem hibrid, suhu dan tekanan tayar, penunjuk lokasi kenderaan serta menghidup/mematikan pendingin atau aliran udara tempat duduk.
Kelengakapan keselamatan juga serupa di mana Tank 300 HEV ini diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk AEB dan ACC, serta dilengkapi dengan enam-beg udara. GWM Malaysia menawarkan warna badan eksklusif khas untuk model HEV ini sahaja iaitu Sand Beige, selain warna Crystal Black dan Pearl White yang turut ditawarkan pada model petrol penuh. Manakala warna Oren masih ditawarkan khas untuk versi petrol penuh sahaja.
Tank 300 HEV ini juga dipadankan dengan rim aloi 17-inci dengan tayar AT, tiada pilihan rim aloi 18-inci seperti yang diberikan pada model petrol penuh.
Untuk setiap pembelian GWM Tank 300 HEV ini akan datang sekali dengan waranti seumur hidup bagi enjin dan transmisi (eksklusif untuk pemilik persendirian pertama), waranti kenderaan dan sistem HEV selama 6 tahun tanpa had perbatuan, waranti bateri kuasa selama 8 tahun / 180,000 km.
Pembeli juga akan diberikan penyelenggaraan percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh) dan juga perkhidmatan telematik kenderaan Tahap 2 (L2) percuma selama lima-tahun. Sekiranya anda kini merupakan pemilik model GWM yang lain, pembelian Tank 300 HEV ini akan diberikan rebat eksklusif sebanyak RM3,000.
The post GWM Tank 300 HEV dilancar di Malaysia – RM260k, 2.0T hibrid, 347 PS/648 Nm, parkir auto dan aplikasi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



























































































