Susulan daripada komentar Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese baru-baru ini bahawa perkembangan teknologi berkaitan EV di peringkat global boleh memberi peluang kepada Australia untuk memulakan semula industri pembuatan automotifnya, BYD menyatakan keterbukaan syarikat itu untuk menjalankan pemasangan dan pengeluaran kenderaan EV di negara tersebut, lapor CarExpert.
Ketika ditanya dalam satu acara di Melbourne sama ada syarikat pengeluar kereta China itu telah berbincang dengan kerajaan Australia mengenai perkara tersebut, Naib Presiden BYD, Liu Xueliang berkata: “Belum ada dalam perancangan. Mungkin keutamaan kami ketika ini adalah jumlah jualan, serta untuk memenuhi keperluan pelanggan terlebih dahulu. Namun, BYD sangat terbuka. Semuanya ada kemungkinan.
“Anda telah melihat sistem penyimpanan tenaga [BYD]. Tetapi pada masa hadapan, tidak hanya kenderaan penumpang, kami juga akan membawa lebih banyak kenderaan komersial untuk dipasarkan. Ini adalah kerana kami memahami bahawa ketika ini merupakan masa yang sukar untuk ramai pemilik kenderaan komersial disebabkan harga diesel yang melonjak,” jelasnya.

Liu ketika itu berucap di Pelabuhan Melbourne, di mana Zhengzhou — sebuah daripada lapan kapal roll-on/roll-off (RORO) yang dikendalikan oleh BYD — telah mula memunggah 4,309 unit kenderaan yang dihantar dari Shanghai.
Dengan tahap kesepaduan yang tinggi, BYD memiliki kebanyakan daripada rantaian bekalannya sendiri, yang membolehkan syarikat itu mengawal kos. Di Australia, BYD kini berada di tempat kedua di belakang Toyota, dan sudah mengendalikan kemudahan berkaitan di Thailand, Brazil dan Uzbekistan — serta kilang bateri di California — dan mempunyai rancangan untuk pelbagai kemudahan pengeluaran di Eropah.
Australia dan China telah memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) sejak 2015, ketika tempoh suram dan menguncup bagi perjalanan automotif Australia. Dengan itu, kenderaan dari China tidak dikenakan sebarang tarif atau duti import — begitu juga dengan kenderaan yang diimport dari Jepun dan Thailand, yang juga mempunyai FTA dengan Australia.
The post BYD terbuka jalankan pemasangan CKD di Australia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















