Insiden tren LRT Laluan Ampang/Sri Petaling yang tergelincir di landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin pagi tadi menimbulkan rasa kurang senang di kalangan para penggunanya. Ada saja gangguan perkhidmatan disebabkan masalag teknikal yang dihadapi oleh perkhidmatan tren kendalian Prasarana, yang pastinya turut menjejaskan urusan para penggunanya.
Bukan itu sahaja, Kementerian Pengangkutan (MOT) juga pastinya ‘bertambah pening kepala’ dengan satu per satu isu atau masalah yang dihadapi oleh syarikat konsesi perkhidmatan rel ini. Ekoran insiden pagi tadi, MOT turut mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menubuhkan pasukan khas serta-merta bagi menyiasat insiden ini.
Malah menerusi laporan Malaysia Gazette, Menteri MOT, Anthony Loke turut mengarahkan APAD mengenakan hukuman maksimum terhadap Prasarana Malaysia Bhd.
Tegas beliau, tindakan serius termasuk pemecatan perlu diambil oleh pihak Lembaga Pengarah kepada mana-mana pihak yang cuai dalam tanggungjawab. Langkah itu katanya, adalah demi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan sistem rel di bawah kendalian Prasarana.

“Saya ingin menegaskan bahawa Lembaga Pengarah dan Pasukan Pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap “business-as-usual”. Kejadian sebegini perlu dipandang serius, dan tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan terkecuali daripada akauntabiliti dalam insiden ini. Piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang boleh dikompromikan,” kata Loke.
Berkenaan dengan pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh APAD, Loke berkata, ia adalah bagi menyiasat punca kejadian tersebut secara menyeluruh. Di mana laporan siasatan perlu dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan dihebahkan kepada umum dengan segera.
Anthony berkata, insiden tersebut membawa risiko keselamatan yang tinggi kepada penumpang dan petugas meskipun kesemua mereka berjaya dipindahkan dan tiada kecederaan dilaporkan. Tambahnya, “Pihak MOT tetap mengambil pendirian yang tegas dalam insiden ini dan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan orang ramai.”
The post MOT arah APAD siasat insiden tren LRT tergelincir landasan, hukuman maksima terhadap Prasarana appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















