Omoda C7 bakal dipamerkan di acara Kuala Lumpur Fashion Week 2026 yang akan berlangsung tidak lama lagi, selepas kali terakhir SUV segmen-C ini dikesan diuji di jalan raya pada Ogos dan November tahun lalu.
SUV ini telah diperkenalkan secara rasmi pada Mei tahun lalu di Malaysia Autoshow 2025, dan kemunculan terbaharu C7 ini mungkin menandakan bahawa model tersebut akhirnya bakal dilancarkan di Malaysia. Seperti yang ditunjukkan oleh nama modelnya, C7 diposisikan di antara Chery O5 dan Omoda C9.
Pra-tonton C7 di Malaysia menampilkan enjin petrol turbo 1.6 liter, yang turut digunakan pada model saudaranya Jaecoo J7, menghasilkan kuasa 197 PS dan tork 290 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan. Dipamerkan dengan lencana AWD semasa pra-tonton tersebut, C7 berkemungkinan ditawarkan di pasaran tempatan dengan sistem pacuan semua-roda serta mungkin juga versi pacuan roda-hadapan.
Selain itu, varian hibrid plug-in turut ditawarkan, iaitu C7 PHEV yang membuat kemunculan sulung ASEAN di Bangkok International Motor Show 2025 dengan enjin petrol turbo 1.5 liter khusus untuk hibrid yang menghasilkan 156 PS dan 220 Nm. Ia digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 204 PS dan 310 Nm serta transmisi DHT satu-kelajuan, menjadikan jumlah gabungan output sebanyak 360 PS dan 530 Nm. Namun begitu, berkemungkinan besar versi yang menggunakan rangkaian kuasa enjin pembakaran dalaman (ICE) akan diperkenalkan terlebih dahulu untuk pasaran Malaysia.
Dari segi kelengkapan, ruang kabin C7 menampilkan papan pemuka minimalis dengan sepasang skrin terapung, termasuk skrin sentuh infotainmen bersaiz 15.6-inci yang boleh dialihkan dari bahagian tengah ke sisi penumpang. Turut ditampilkan ialah tempat duduk hadapan dengan perehat kepala terbina dalam, stereng berbentuk bujur, serta sistem audio dengan pembesar suara Sony “12+2”.
GALERI: Omoda C7 dipertonton di Malaysia Autoshow 2025
The post Omoda C7 bakal dipamer di KL Fashion Week 2026 – akan dilancarkan di Malaysia dalam varian petrol? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






























