Selepas didedahkan pada November tahun lalu dan membuat kemunculan di Thailand Mac lalu, Toyota Hilux generasi ke-sembilan kini dilancarkan secara rasmi di Jepun. Seperti model generasi sebelumnya, versi kali ini juga masih dibuat di Thailand (di mana generasi kali ini dikenali sebagai Hilux Travo di sana) dan kemudian dihantar ke Jepun untuk dijual sebagai unit diimport sepenuhnya (CBU).
Untuk pasaran Jepun ini Hilux ditawarkan dalam dua varian iaitu varian asas Hilux Z dan varian paling tinggi Hilux Z Adventure. Namun kedua-dua varian ini ditawarkan dengan badan Double Cab dan digerakkan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu 1GD-FTV 2.8 liter empat-silinder turbodiesel berkuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm.
Enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan 6 Super ECT dan juga sistem pacuan empat roda di mana ia turut datang standard dengan Multi-Terrain Select dan juga Multi-Terrain Monitor.
Hilux generasi baharu ini masih diasaskan dari platform ladder frame IMV yang sama digunakan sejak Hilux generasi ke-tujuh dan ke-lapan. Malah bagi model generasi terbaharu ini ia masih menggunakan kabin dan pintu yang sama dengan model generasi sebelumnya. Namun untuk bahagian muka, bed belakang dan dalaman, ia menerima rekaan baharu sepenuhnya.
Muka Hilux baharu ini direka dengan konsep “Cyber Sumo” menampilkan lampu hadapan tirus dan nipis, memerlukan pencahayaan dari LED projektor diberikan standard pada semua varian. Kedua-dua varian Hilux JDM ini turut menampilkan grafik LED berbentuk-L bina dalam untuk lampu nyalaan siang.
Kedua-dua lampu hadapan bersambung antara satu sama lain menerusi bar berwarna hitam yang turut menempatkan skrip ‘TOYOTA’ pada bahagian tengah. Gril dengan elemen sarang lebah pula terletak di bawahnya, di apit dengan kemasan pengalir udara palsu. Hilux baharu ini juga diberikan lampu belakang baharu dengan rekaan terbalik berbanding generasi sebelumnya, dan turut diberikan grafik LED berbentuk-C.
Pintu tailgate juga direka semula menampilkan bentuk seakan mempunyai spoiler ducktail. Manakala bampar pula bukan sahaja menampilkan bahagian pemijak pada ruang nombor pendaftaran, malah pemijak pada bahagian sisi juga diberikan seakan rekaan pada Ford Ranger generasi terkini untuk memperbanyakkan akses ke ruang bed belakang.
Secara standard Hilux JDM 2026 ini menerima panel skid plate hadapan, perapi bawah dan sisi bampar hadapan dan rim aloi 18-inci kemasan dua-tona dan tayar 165/60R18. Manakala untuk varian Z Adventure, ia ditambah dengan skid plate berwarna perak, perapi bawah bampar hadapan dengan rekaan lebih lasak, perapi bawah sisi badan, sports bar pada bed belakang, pintu bed belakang dengan penyerap hentak bukaan dan tulisan ‘TOYOTA’ diwarnakan hitam, serta rim aloi 18-inci dengan kemasan hitam sepenuhnya.
Manakala untuk bahagian dalam kabin, papan pemuka trak pikap ini direka lebih berkotak dan nampak lebih lasak seperti rekaan yang diberikan pada barisan model Land Cruiser Prado 250 dan Land Cruiser FJ. Skrin sesentuh untuk sistem infotainmen kini diletakkan secara berdiri sendiri berbanding tenggelam dalam papan pemuka sebelum ini, dan model pasaran Jepun ini menerima skrin berkenaan dalam saiz 12.3-inci. Ia juga menerima paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci.
Liang penghembus udara tengah kini terletak di bawah skrin dan kelihatan seperti bersepadu dengan panel suis kawalan yang berada pada posisi seperti kekunci piano. Manakala rekaan pemegang cawan yang terletak pada kedua-dua liang udara sisi dan dua glove box masih dikekalkan.
Suis-suis kawalan untuk MTS pula diletakkan pada konsol tengah lebih bawah menampilkan mod pemanduan off-road termasuk Dirt, Sand, Mud, Rock dan Snow yang boleh dipilih menerusi suis putar, di mana setiap mod akan membuat talaan semula terhadap kawalan pendikit dan juga respon kotak gear.
Manakala tombol gear yang kini direka lebih pendek terletak pada satu lagi konsol yang turut menempatkan suis brek parkir elektrik dan juga suis kawalan mod sistem pacuan empat roda.Pemandu pula menerima roda stereng yang sememangnya diambil terus dari Prado, manakala tempat duduk direka semula bagi memberikan keselesaan dan ergonomik lebih baik,
Bagi varian Z, ia diberikan tempat duduk berliang dan dibalut dengan kulit sintetik hitam, menyerlahkan jahitan benang berwarna kelabu. Manakala bagi Z Adventure, upholsteri yang diberi merupakan kulit sintetik berwarna Mineral serta serlahan jahitan berwarna kuning.
Di Jepun Hilux generasi baharu ini dijual pada harga bermula 4,980,800 yen (sekitar RM124k) untuk varian asas Z, sehingga 5,500,000 yen (RM137k) untuk varian tertinggi Z Adventure. Toyota mensasarkan untuk menjual sebanyak 690 unit Hilux ini sebulan.
The post Toyota Hilux 2026 dilancar di Jepun – CBU Thailand, 2 varian, hanya 2.8L Turbodiesel 4×4, bermula RM124k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.































































