Selepas ia dilancarkan di India minggu lalu, Honda City generasi kelima dalam versi facelift kali kedua kini didedahkan pula di negara jiran kita iaitu Thailand. Model ini hanya akan dilancarkan pada 1 Julai nanti, tetapi Honda Thailand telah pun menyiarkan rupa penuhnya serta membuka tempahan untuk pasaran tersebut. Dan tidak seperti India yang hadir hanya dalam versi sedan, City facelift 2026 di Thailand ini turut didedahkan terus dalam versi Hatchback.
Seperti yang kita tahu sebelum ini, bagi model petrol penuh City generasi kelima pasaran Thai tidak ditawarkan dalam versi 1.5L NA, sebaliknya ia menggunakan enjin 1.0 liter Turbo, disamping pilihan versi hibrid e:HEV masih kekal dengan unit rangkaian kuasa i-MMD 1.5L. Jadi untuk pasaran Thai, City Sedan dan Hatchback facelift 2026 ini ditawarkan dalam varian 1.0 Turbo S CVT, e:HEV V, e:HEV SV, dan e:HEV RS.
Seperti yang telah didedahkan di India, City facelift 2026 ini menampilkan rombakan besar pada muka. Ia kini kelihatan lebih sporty dengan bahagian muncung direka lebih tajam dengan lampu bi-LED rekaan baharu bersama lampu nyalaan siang dengan jalur LED merentangi sepenuhnya, gril dengan elemen sarang lebih yang jauh lebih besar dan lebar, bampar rekaan baharu serta logo ‘H’ terletak lebih tinggi seperti Honda Prelude generasi baharu.
Namun pada bahagian profil sisi dan belakang masih mengekalkan rekaan asas yang sama, dengan perubahan diberikan pada rekaan rim aloi, grafik lampu belakang dan juga bampar belakang baharu. Pada bahagian dalaman juga tiada perubahan besar di mana pada varian-varian lebih tinggi ia diberikan skrin infotainmen lebih besar dan juga lampu suasana kabin.
Honda Thailand belum lagi menyiarkan sebarang spesifikasi rasmi bagi versi facelift ini, namun kami jangkakan ia masih digerakkan oleh unit rangkaian kuasa yang sama seperti versi sedia ada. Model petrol penuh menerima enjin 1.0 liter tiga-silinder VTEC Turbo berkuasa 122 PS dan tork maksima 173 yang boleh beroperasi dengan bahan api E20, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.
Manakala versi yang dibantu kuasa elektrik diberikan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV yang menampilkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 100 PS/131 Nm yang kebanyakkan masanya mengecas bateri, sementara roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 109 PS/253 Nm. Namun dalam situasi tertentu, enjin petrol berkenaan masih membantu memacu roda menerusi klac lock-up dalam transmisi e-CVT yang diberikan.
Kali pertama City generasi kelima ini didedahkan adalah pada penghujung 2019, dan masuk tahun ini ia sudahpun berusia enam tahun. Dengan pengenalan facelift baharu ini bermaksud ia sekurang-kurangnya akan bertahan tiga tahun lagi sebelum diganti dengan model generasi baharu sepenuhnya, berbeza dengan generasi-generasi sebelum ini yang hanya dijual selama enam-tahun dalam pasaran.
Model facelift sedia ada di Malaysia juga sudah berada dalam pasaran hampir tiga tahun, dan mengikut trend sebelum ini ia tiba ke pasaran tempatan tidak lama selepas pelancaran di India dan Thailand dibuat. Mungkin City facelift 2027 ini juga termasuk dalam enam model yang akan dilancarkan oleh Honda Malaysia tahun ini?
The post Honda City facelift Sedan & Hatchback 2026 didedah di Thailand, tempahan dibuka – Malaysia tak lama lagi? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.























































