Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) melaksanakan penangguhan sementara urus niaga tukar hak milik (THM) kenderaan melalui saluran dalam talian termasuk portal awam, kiosk serta rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd. berkuat kuasa hari ini, 25 Mei 2026.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, langkah ini dilaksanakan sebagai tindakan kawalan serta-merta JPJ susulan penerimaan beberapa aduan rasmi serta melalui media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilaksanakan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.
“JPJ memandang serius perkara ini, khususnya yang melibatkan aspek penyelenggaraan dan keselamatan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ. Sehubungan dengan itu, bermula 25 Mei 2026, semua urusan THM kenderaan bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat hendaklah dilaksanakan melalui kaunter Pejabat JPJ.

“Sebagai tambahan, bagi urus niaga THM kategori persendirian individu, ia boleh dilaksanakan pada hari yang sama di semua Pejabat JPJ Negeri dan cawangan, manakala bagi kategori persendirian syarikat, proses pengesahan dan kelulusan akan dilaksanakan dalam tempoh lima hingga tujuh hari bekerja bermula daripada tarikh serahan dokumen lengkap kepada JPJ,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambah beliau, bagi saluran melalui penyedia perkhidmatan eAuto, hanya urus niaga Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) sahaja mash beroperasi seperti biasa manakala sistem tukar hakmilik kekal melalui sistem eSerahan Tukar Milik (eSTM) ditangguhkan pelaksanaannya.
“Mana- mana pihak termasuk syarikat kenderaan terpakai yang hendak melaksanakan eSTM hendaklah mengemukakan permohonan ini di Pejabat JPJ Negeri atau Cawangan.
“JPJ kekal komited dalam memastikan pengurusan serta kawalan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ sentiasa diperkukuhkan dan ditambah baik dari semasa ke semasa demi melindungi kepentingan pemilik kenderaan serta memastikan integriti sistem penyampaian perkhidmatan Jabatan terus terpelihara. Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa menyemak dan mengemaskini maklumat serta data terkini kenderaan masing-masing di JPJ,” sambungnya.
The post JPJ tangguh urusan tukar hak milik kenderaan secara dalam talian mulai 25 Mei; hanya di kaunter fizikal appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















