Naib Presiden dan Pengurus Besar BYD bagi Bahagian Jualan Auto Asia Pasifik, Liu Xueliang dalam ucapannya ketika majlis pelancaran rasmi bilik pameran BYD Mansion Macalister di Pulau Pinang menjelaskan bahawa syarikat itu akan tetap komited terhadap pasaran Malaysia walaupun terdapat perubahan dasar kerajaan berkaitan EV seperti yang diumumkan penghujung April lalu.
“Kami ambil maklum bahawa kerajaan Malaysia telah mengeluarkan dasar baru berkaitan kenderaan tenaga baru (NEV). Sebagai sebuah syarikat teknologi yang bertanggungjawab, kami akan terus membawa teknologi dan produk terbaik kami ke Malaysia untuk ditawarkan kepada pelanggan di sini.
“Bersama dengan pihak berkuasa yang berkaitan di Malaysia, serta sokongan daripada rakan pengedar, kami akan mencari kesepakatan bagi penyelesaian pembangunan NEV yang paling sesuai untuk pasaran Malaysia,” katanya.
“Kami menghormati semua dasar yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Kami berharap akan dapat memanfaatkan usaha, kebijaksanaan dan semangat kami, serta dengan sokongan dan kerjasama semua pelanggan dan rakan-rakan untuk terus membawa dan memperkenalkan teknologi dan produk terbaik kami di sini,” tambahnya.

Sebagai ringkasan, berdasarkan peraturan EV import sepenuhnya (CBU) terbaru yang dikeluarkan oleh MITI pada 30 April lalu bermakna barisan kereta CBU BYD yang ada ketika ini tidak lagi boleh dijual kerana tidak mempunyai hasil janaan minimum 180 kW (245 PS) seperti yang terkandung dalam syarat baru itu. Atau, jika terus ingin dijual di sini, harganya akan menjadi sangat mahal (misalnya model Seal dan Sealion 7) kerana CIF dengan harga lantai RM200k.
Jalan penyelesaiannya adalah dengan melakukan pemasangan tempatan (CKD). Tetapi, oleh kerana BYD sedang menubuhkan kilang baru, peraturan terkini itu turut menetapkan harga lantai RM100k serta sasaran 80% daripada jumlah pengeluaran dari kilang itu adalah untuk tujuan eksport.
Dalam perkembangan lain, Liu juga mendedahkan bahawa BYD sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan rangkaian jualannya ke Malaysia Timur. “Tahun lalu, saya berkunjung ke Malaysia Timur, dan saya dapat merasakan bahawa terdapat banyak permintaan daripada pengguna di sana terhadap teknologi dan produk-produk BYD. Saya telah berjanji yang kami akan membawa teknologi dan produk BYD ke Malaysia Timur,” ujarnya. Bagaimanapun, belum ada sebarang garis masa yang ditetapkan untuk menjadikan perkara itu satu kenyataan.
The post BYD kekal komited dengan pasaran Malaysia walau ada perubahan dasar, lebar sayap ke Malaysia Timur appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















