Perodua Ativa Hybrid akhirnya disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia secara rasmi selepas empat tahun ia diperkenalkan menerusi program percubaan berasaskan langganan. Sebelum ini hanya ditawarkan kepada kumpulan pengguna terpilih, model hibrid tersebut kini akan dikeluarkan dalam negara dan dijual terus kepada pengguna.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, syarikat itu kini sedang memuktamadkan beberapa perkara termasuk jadual pengeluaran serta penetapan harga sebelum pengumuman rasmi dibuat. Beliau turut mengesahkan bahawa Ativa Hybrid akan dipasang secara tempatan di Malaysia – lapor Bernama.
Menurut beliau lagi, Perodua menerima dana sekitar 1.5 bilion yen, bersamaan lebih RM37 juta, daripada Global South Fund bagi menyokong pembangunan teknologi hibrid Jepun di Malaysia. Dana tersebut dikendalikan oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, atau METI, dan bertujuan membantu negara membangun dalam bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital serta pembangunan infrastruktur. Bantuan itu dijangka dapat mengurangkan kos pembangunan model hibrid pertama Perodua.
Sebelum ini, sekitar tahun 2023, Perodua pernah menyatakan bahawa teknologi hibrid akan menjadi langkah seterusnya bagi syarikat, sebelum projek kenderaan elektrik diperkenalkan. Pada ketika itu, model hibrid pertama Perodua dirancang sebagai satu varian dalam generasi baru sesebuah model, bukannya model khas seperti Toyota Prius. Namun perkembangan terkini menunjukkan pelan tersebut mungkin berubah apabila Ativa dipilih sebagai asas kepada model hibrid pertama syarikat.
Untuk rekod, Ativa Hybrid yang diperkenalkan kepada 300 pelanggan menerusi program langganan pada tahun 2022 sebenarnya merupakan model import sepenuhnya berasaskan Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid. Model itu menggunakan motor elektrik berkuasa 106 PS dan 170 Nm, dipadankan dengan enjin tiga silinder 1.2 liter Atkinson-cycle yang berfungsi sebagai penjana tenaga untuk bateri hibrid.
Sistem tersebut hampir menyerupai teknologi e-Power milik Nissan, di mana roda digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik. Enjin pembakaran dalaman pula tidak memacu roda secara terus, sebaliknya hanya menjana kuasa elektrik untuk sistem hibrid. Pendekatan ini berbeza dengan sistem e:HEV milik Honda atau Toyota Hybrid System yang digunakan pada beberapa model Toyota.
Dari segi kecekapan bahan api, Daihatsu Rocky Hybrid dikatakan mampu mencatat penggunaan serendah 3.6 liter bagi setiap 100 kilometer mengikut kitaran WLTP, bersamaan sekitar 27.8 km bagi setiap liter petrol. Ketika program langganan diperkenalkan dahulu, Perodua mendakwa Ativa Hybrid mampu mencapai sehingga 31.3 km/l menerusi simulasi “Malaysian Driving Cycle” yang dibangunkan berdasarkan keadaan pemanduan tempatan.
Dengan pengeluaran tempatan, terdapat kemungkinan Perodua akan melakukan beberapa perubahan pada reka bentuk dan talaan suspensi agar lebih sesuai dengan citarasa serta keadaan jalan raya di Malaysia. Ini bermakna Ativa Hybrid versi pemasangan tempatan mungkin tampil hampir sama seperti Ativa petrol biasa, dengan beberapa elemen khas bagi membezakan varian hibrid tersebut.
Dari sudut harga, Ativa 1.0 Turbo ketika ini dijual pada harga antara RM62,500 hingga RM73,400. Sebagai perbandingan, Daihatsu Rocky Hybrid dilancarkan di Indonesia pada tahun 2025 dengan harga sekitar RM76,000 ketika masih diimport sepenuhnya dari Jepun. Berdasarkan perkembangan semasa, ramai menjangkakan Ativa Hybrid versi Malaysia bakal ditawarkan pada harga yang lebih kompetitif apabila pengeluaran tempatan bermula kelak.
GALERI: Perodua Ativa Hybrid 2022
The post Perodua Ativa Hybrid sah akan dibuat, dijual di M’sia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
































































































