Nampaknya bukan Malaysia sahaja yang gusar dengan kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China yang berpotensi untuk ‘membunuh’ industri automotif tempatan jika tidak dikendalikan dengan betul. Menurut laporan portal berita The Nation Thailand, gabungan 10 persatuan automotif yang mewakili lebih 1,500 pengendali di Thailand kini sedang melobi agar kerajaan mengenakan cukai lebih tinggi terhadap EV CBU bagi melindungi ekosistem automotif negara itu.

Laporan tersebut menyatakan bahawa Persatuan Kenderaan Elektrik Thailand (EVAT), Persatuan Pengilang Alat Ganti Auto Thailand (TAPMA) dan kumpulan industri yang bersekutu telahpun mengemukakan cadangan kecemasan kepada kerajaan pada 14 Mei lalu, meminta kenaikan cukai eksais kepada sekurang-kurangnya 32% ke atas EV CBU sebagai sebahagian daripada langkah untuk menstabilkan industri auto dan alat ganti Thailand.

Kumpulan yang berkepentingan dalam industri automotif Thailand itu memberi amaran bahawa industri berkenaan sedang menghadapi ‘krisis paling serius’ apabila negara itu beralih kepada EV. Ia berkata peralihan pantas kepada EV, digabungkan dengan kelebihan kos model import CBU dari China, boleh ‘melemahkan pengeluaran tempatan dengan teruk dan mengancam kelangsungan pengeluar alat ganti kereta Thailand’.

Kumpulan automotif Thailand mahu EV CBU China dikenakan cukai 32% untuk lindung industri tempatan

Ia menambah bahawa pengeluaran kenderaan di Thailand menelan belanja sekitar 30% hingga 40% lebih tinggi berbanding mengimport kereta yang sama dari China, dan ini meletakkan pengeluar dan pembekal alat ganti tempatan dalam keadaan yang merugikan. Oleh itu, persatuan-persatuan itu mahu cukai eksais ke atas EV CBU dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 32%, mewujudkan jurang 30 mata peratusan dengan EV yang dihasilkan di dalam negara (CKD), yang kini tertakluk kepada cukai eksais 2%.

Kumpulan itu berpendapat bahawa cukai yang lebih tinggi akan membantu mengimbangi jurang kos antara EV CKD dan CBU, sambil menggalakkan pengeluar kereta untuk terus melabur dalam pengeluaran tempatan. Permintaan agar kerajaan memperkenalkan langkah yang lebih kukuh bagi menggantikan polisi sedia ada ini dibuat ketika pemain industri tempatan bimbang kerana sebaik sahaja skim sokongan ‘EV 3.5’ yang kini sedang berjalan tamat kelak, pengeluar kereta China akan kembali mengimport EV CBU dan bukannya meneruskan pengeluaran di Thailand.

Selain itu kumpulan berkenaan juga mencadangkan insentif dalam bentuk sistem kuota import yang dikaitkan secara langsung dengan pengeluaran tempatan. Di bawah cadangan itu, syarikat yang membuat pelaburan tulen dalam pengeluaran kenderaan di Thailand akan dibenarkan mengimport EV CBU pada kadar cukai eksais sedia ada yang lebih rendah iaitu 10%. Walau bagaimanapun, kuota tersebut akan dihadkan kepada tidak lebih daripada 10% daripada jumlah pengeluaran setiap syarikat.

Kumpulan automotif Thailand mahu EV CBU China dikenakan cukai 32% untuk lindung industri tempatan

Akhir sekali, kumpulan tersebut turut memohon peraturan kandungan tempatan 80%, di mana angka tersebut merujuk kepada nilai kenderaan. Mereka memohon kaedah pengiraan yang disemak semula untuk menutup kelemahan, serta menambah bahawa sistem semasa harus diperketatkan bagi mengelakkan keuntungan atau kos buruh daripada dikira dengan cara yang ‘melemahkan sokongan yang diperlukan untuk pengeluar alat ganti Thailand’.

China merupakan pasaran automotif terbesar di dunia yang membolehkan mereka menghasilkan kenderaan dengan jumlah yang sangat besar seterusnya mengurangkan kos penghasilan. Malah buat masa sekarang di China walaupun pasaran dalam negara begitu besar, ia kini berhadapan dengan masalah kapasiti yang berlebihan dari permintaan semasa.

Jadi agak mustahil untuk mana-mana negara bukan sahaja Thailand, Malaysia mahupun rantau ASEAN serta negara-negara lain di dunia untuk menghasilkan EV yang lebih murah berbanding yang diproduksi di China sendiri. Dan sekiranya ada peluang di mana-mana negara yang membolehkan EV CBU dari China dijual pada harga yang kompetitif, peluang tersebut pastinya digunakan bagi mengurangkan beban lebihan kapasiti yang berlaku di China.

Faktor ini pastinya akan menjadi masalah sekiranya sesebuah negara itu mempunyai ekosistem pembuatan industri dalam negara, dan satu-satunya cara untuk melindungi industri tempatan adalah dengan mengenakan tarif dan duti terhadap EV yang diimport dari China berkenaan, dan inilah yang dibuat oleh MITI di Malaysia. Polisi yang akan bermula pada 1 Julai ini bukan hanya untuk melindungi Proton dan Perodua, malah seluruh ekosistem industri automotif tempatan yang melibatkan banyak pengeluar automotif lain yang telah sedia ada melabur di Malaysia.

The post Kumpulan automotif Thailand mahu EV CBU China dikenakan cukai 32% untuk lindung industri tempatan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts