Chery dilaporkan mempunyai perancangan untuk memperkenalkan trak pikap Himla di Malaysia, dengan jangkaan pelancarannya sekitar suku kedua atau ketiga tahun 2027. Seperti kebiasaan bagi model pikap baru dengan jenama baru di pasaran tempatan, ia dijangka akan dipasang dalam negara sebagai model CKD.
Namun, persoalan yang lebih rumit ialah mengenai nama jenama yang akan digunakan di sini serta bentuk sebenar model tersebut. Sebelum ini, perkara ini agak jelas. Ketika diperkenalkan di Auto Shanghai tahun lalu, sub-jenama ini dikenali sebagai Himla, nama yang diinspirasikan daripada Himalaya dan juga merupakan singkatan kepada “high performance”, “innovation”, “multifunction”, “longevity” dan “all-terrain”.
Nama Himla digunakan untuk pasaran global, manakala di China model ini dikenali sebagai Rely. Secara logiknya, kenderaan dengan kod nama KP11 itu dijangka menggunakan nama Himla di semua pasaran luar China termasuk Malaysia. Namun begitu, situasi ini mungkin berubah bergantung kepada perkembangan model lain yang sedang dibangunkan.
Perkara ini berkait rapat dengan kemunculan sebuah trak konsep baru Chery yang diperkenalkan di Sydney pada Februari lalu. Model yang dikenali sebagai KP31 itu tampil dengan rekaan berbeza dan lebih gagah, malah mempunyai panjang sekitar 5,610 mm, lebih panjang berbanding KP11 yang berukuran 5,330 mm.
Perbezaan ini berkemungkinan disebabkan penggunaan ruang kargo yang lebih panjang secara standard, sekaligus memberi bayangan bahawa ia mungkin sekadar versi rekaan semula daripada model asal.
Versi produksi bagi model ini, yang disasarkan untuk pasaran global, dijangka dilancarkan di Australia sekitar suku keempat tahun ini. Setakat ini, model tersebut masih belum mempunyai nama rasmi dan ada kemungkinan ia akan menggunakan nama berbeza apabila dipasarkan, termasuk untuk versi di bawah jenama Omoda | Jaecoo.
Walaubagaimanapun, terdapat petunjuk bahawa KP31 mungkin tetap menggunakan nama Himla. Ini dapat dilihat apabila beberapa unit KP31 dipamerkan semasa acara sidang perniagaan antarabangsa Chery 2026 di Wuhu, China. Salah satu daripadanya menggunakan lencana Chery dengan kod model P3X khusus untuk pasaran China, manakala dua lagi unit yang dipamerkan turut memaparkan nama Himla walaupun jelas merupakan model KP31.
Persoalan mengenai nama ini penting kerana besar kemungkinan model yang akan dibawa ke Malaysia ialah KP31 dan bukannya Himla KP11. Ini selari dengan perancangan trenkuasa untuk pasaran tempatan, iaitu sistem plug-in hybrid (PHEV) berasaskan petrol.
Sebelum ini, KP31 diperkenalkan dengan sistem plug-in hybrid diesel, yang merupakan teknologi pertama seumpamanya di dunia. Namun, enjin diesel walaupun digabungkan dengan elektrifikasi tidak lagi menjadi pilihan utama buat masa ini.
Sebaliknya, trenkuasa PHEV petrol dilihat lebih relevan, walaupun ia dijangka hanya akan tersedia dalam tempoh kira-kira setahun lagi. Ini bertepatan dengan garis masa pelancaran model tersebut di Malaysia. Tambahan pula, KP11 hanya ditawarkan dengan enjin turbodiesel 2.3 liter dan petrol 2.4 liter, yang mungkin kurang sesuai dengan strategi semasa.
Dari segi pengeluaran, trak pikap ini dijangka akan dipasang di kilang baru Chery di Smart Auto Industrial Park, memandangkan model ini dijangka mencatatkan jumlah jualan yang tinggi. Sementara itu, fasiliti sedia ada di Shah Alam berkemungkinan akan terus digunakan untuk model dengan jumlah pengeluaran lebih kecil, manakala model berjumlah tinggi akan dipasang di Lembah Beringin.
Walaupun banyak maklumat masih belum disahkan, lebih banyak perkembangan mengenai trak pikap ini dijangka akan diketahui apabila ia semakin hampir ke fasa pelancaran rasmi di pasaran tempatan.
GALERI: Chery Himla KP31 dan Himla KP11 di Wuhu, China
GALERI: Chery KP31 Concept
The post Chery Himla bakal masuk Malaysia – trak pikap jangka lancar Q2/Q3 2027, model KP11 atau KP31 yang baru? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















































