Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah mengumumkan pelaksanaan Projek Penguatkuasaan Bersepadu Automated Number Plate Recognition (P-B ANPR) bagi mempertingkat kecekapan, ketepatan dan integriti sistem penguatkuasaan jalan raya negara. Pelaksanaan projek rintis selama 36 bulan itu melibatkan penggunaan 375 unit kamera ANPR, 1,000 unit peranti SmED serta pembangunan pusat kawalan di Cyberjaya.
“Sistem ini membolehkan pelbagai kesalahan lalu lintas dikesan secara automatik termasuk melibatkan Lesen Kenderaan Motokar (LKM/cukai jalan), insurans, VEP, Road Charge serta kesalahan penggunaan telefon bimbit, lampu isyarat merah dan lorong kecemasan,” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.
Ia dilaksanakan kira-kira empat bulan selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata bahawa JPJ perlu mengguna pakai teknologi ANPR bagi menggantikan sekatan jalan raya untuk tujuan penguatkuasaan. “Saya tidak mahu melihat JPJ membuat sekatan jalan raya selepas plaza tol sehingga enam lorong menjadi satu. Orang ramai akan marah. Itu pendekatan lama. JPJ juga perlu berubah dan menggunakan kaedah yang lebih pintar,” katanya ketika itu.
Pada tahun 2016, Johor menjadi negeri pertama di Malaysia yang menggunakan ANPR untuk penguatkuasaan kenderaan, manakala tahun lalu, Pulau Pinang mula menggunakannya bagi penguatkuasaan bayaran parkir.
Di luar penguatkuasaan, ANPR sememangnya digunakan di banyak lokasi di Lembah Klang (terutamanya pusat beli-belah) untuk pembayaran parkir, dan PLUS turut menggunakannya untuk kutipan tol dalam projek rintis yang dilaksanakan di satu jajaran Lebuhraya Utara-Selatan.
The post JPJ guna ANPR laksana penguatkuasaan – kesan kesalahan melibatkan cukai jalan, insurans, VEP dll appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


















