Honda kini memberi tumpuan penuh kepada strategi pemulihan baru selepas syarikat itu berdepan krisis besar melibatkan projek kenderaan elektrik (EV). Dalam sesi pembentangan perniagaan yang berlangsung di Jepun, pengeluar automotif tersebut mengumumkan pelan pemulihan selama tiga tahun bagi mengembalikan prestasi kewangan syarikat selepas mencatatkan kerugian tahunan pertama dalam tempoh lebih 70 tahun operasi.
Honda mensasarkan untuk kembali merekodkan keuntungan operasi tertinggi menjelang tahun 2029. Sebagai sebahagian daripada langkah pemulihan itu, Honda akan mengalihkan pelaburan yang sebelum ini diperuntukkan untuk pembangunan EV kepada teknologi hibrid yang kini lebih mendapat permintaan di pasaran global.
Sebanyak 15 model hibrid baru akan diperkenalkan antara tahun 2027 hingga 2029, dengan pasaran utama tertumpu di Amerika Syarikat. Honda juga merancang untuk memperkenalkan sedan dan model bersaiz lebih besar dalam segmen D bermula tahun 2029.
Salah satu model terbaru yang diperlihatkan ialah Hybrid Sedan Prototype, sebuah sedan fastback empat pintu dengan rekaan moden dan sporty yang dijangka memasuki pasaran dalam tempoh dua tahun lagi.
Model konsep itu tampil dengan logo H baru Honda, lampu hadapan jenis terpisah bersama lampu nyalaan siang berbentuk garis empat titik, gril bawah trapezoid bersaiz besar, pemegang pintu jenis tersembunyi serta garis bumbung yang melandai hingga ke bahagian belakang. Prototype tersebut dipamerkan bersama Acura Hybrid SUV Prototype yang bakal membantu memperkukuhkan semula jenama premium Acura di Amerika Syarikat.
Selain Amerika Utara, pasaran Jepun turut akan menerima beberapa model baru termasuk N-Box EV yang dijadualkan diperkenalkan tahun depan bagi menyertai N-Van dan N-One e:. Honda turut mengesahkan bahawa HR-V generasi baru, yang dikenali sebagai Vezel di Jepun, akan dilancarkan pada tahun 2028. Model tersebut akan menggunakan sistem hibrid generasi baru Honda bersama teknologi bantuan pemandu termaju atau ADAS.
Di India pula, Honda merancang memperkenalkan beberapa model strategik bermula tahun 2028 dalam segmen kereta bawah empat meter dan juga pasaran saiz sederhana. Langkah ini dilihat sebagai usaha Honda untuk menarik pelanggan motosikalnya beralih kepada kereta, memandangkan syarikat itu menjual hampir enam juta motosikal setiap tahun di negara tersebut.
Kesemua model baru ini akan dibangunkan menerusi pendekatan “Triple Half” yang diperkenalkan Honda. Strategi tersebut bertujuan mengurangkan kos pembangunan, tempoh pembangunan dan beban kerja sehingga separuh berbanding tahap tahun 2025. Honda akan mencapai sasaran itu menerusi penggunaan komponen standard serta penilaian semula piawaian pembangunan dalaman syarikat, selain mengambil inspirasi daripada pengeluar automotif China dan India.
Honda turut menyasarkan proses pembangunan model yang lebih pantas. Perubahan kecil seperti facelift akan dipercepatkan bermula tahun ini, manakala perubahan model penuh akan dilaksanakan mulai 2028. Dalam tempoh lima tahun akan datang, syarikat itu juga mahu meningkatkan kecekapan pengeluaran menerusi pengagihan sumber dan pelaburan yang lebih efektif untuk model serta peralatan baru.
Dari sudut teknologi, Honda sedang berusaha mengurangkan kos sistem hibrid generasi barunya lebih 30 peratus berbanding sistem e:HEV semasa yang diperkenalkan pada tahun 2023. Pada masa sama, sistem tersebut disasarkan menawarkan peningkatan kecekapan bahan api sekitar 10 peratus bersama platform baru dan sistem pacuan semua roda elektrik.
Teknologi ADAS generasi baru yang akan digunakan pada HR-V 2028 juga bakal diperluaskan kepada 15 model lain dalam tempoh lima tahun akan datang. Sementara itu, sistem infotainmen Asimo OS yang asalnya dibangunkan untuk siri EV Honda 0 Series yang telah dibatalkan kini akan digunakan pada model hibrid.
Dalam usaha mengoptimumkan kos dan penggunaan sumber, Honda akan lebih bergantung kepada pembekal luar. Syarikat itu turut menghentikan sementara pengeluaran bateri EV secara dalaman dan akan mengubahsuai fasiliti L-H Battery, iaitu usaha sama bersama LG di Ohio, Amerika Syarikat, untuk menghasilkan bateri bagi kenderaan hibrid. Di China pula, Honda akan memanfaatkan kerjasama dengan pengeluar tempatan bagi membangunkan kenderaan tenaga baru menggunakan platform sedia ada, sama seperti pendekatan yang digunakan Nissan.
Pelan pemulihan Honda turut disokong oleh penstrukturan semula organisasi yang diumumkan pada Februari lalu. Divisyen penyelidikan dan pembangunan Honda kini menyerap semula unit pembangunan automotif dan operasi automotif yang dipisahkan sejak tahun 2020.
Langkah ini dijangka mempercepatkan proses membuat keputusan dan membantu syarikat bertindak balas dengan lebih pantas terhadap perubahan pasaran. Honda juga telah menghentikan pembangunan kenderaan berasaskan perisian atau software-defined vehicles (SDV), dengan perubahan tersebut berkuat kuasa mulai 1 April lalu.
Langkah drastik ini diambil selepas Honda membatalkan projek EV 0 Series pada Mac lalu, hanya beberapa bulan sebelum model tersebut dijadualkan dilancarkan di Amerika Syarikat. Keputusan itu dibuat susulan tarif Amerika Syarikat yang tidak memihak kepada syarikat serta penurunan daya saing Honda di Asia.
Pengurangan pelaburan dalam EV menyebabkan Honda mencatatkan kerugian tahunan sebanyak 414.3 bilion yen, bersamaan kira-kira RM10.3 bilion, bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu.
Menerusi pelan penstrukturan semula ini, Honda menyasarkan untuk menyelesaikan kerugian berkaitan EV menjelang tahun kewangan 2028. Syarikat itu turut meletakkan sasaran keuntungan operasi melebihi 1.4 trilion yen atau sekitar RM34.8 bilion menjelang 31 Mac 2029, selain mahu kembali mencapai sasaran pulangan modal pelaburan (ROIC) sebanyak 10 peratus menjelang tahun 2031.
Walaupun mengurangkan fokus terhadap EV, Honda menegaskan bahawa syarikat itu tidak meninggalkan teknologi tersebut sepenuhnya. Honda masih akan melabur sehingga 800 bilion yen atau sekitar RM19.9 bilion bagi pembangunan platform EV kompetitif serta bateri solid-state sebagai persediaan menghadapi peningkatan permintaan EV pada masa hadapan.
Namun begitu, jumlah pelaburan itu masih jauh lebih kecil berbanding satu trilion yen yang diperuntukkan untuk teknologi perisian dan 4.4 trilion yen yang akan dilaburkan dalam pembangunan kenderaan petrol dan hibrid.
The post Fokus EV tidak berhasil, Honda tetap semula hala tuju – Hybrid Sedan Prototype ditunjuk, HR-V baru 2028 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















