BMW Malaysia mengumumkan ketibaan rasmi model BMW XM Label ke pasaran tempatan, menggantikan varian Label Red sebelum ini. Dengan pengenalan ini, XM Label kini menjadi satu-satunya varian yang ditawarkan dalam barisan XM di Malaysia.
Dari segi harga, model ini ditawarkan bermula RM1,554,800, atau RM1,650,500 bersama pakej BMW Service & Repair Inclusive. Pakej tersebut merangkumi jaminan selama lima tahun serta servis penyelenggaraan, selain jaminan bateri voltan tinggi selama lapan tahun. Harga yang dinyatakan adalah atas jalan tanpa insurans.
XM Label mengekalkan penggerak yang sama seperti Label Red, iaitu enjin petrol V8 4.4 liter pengecas turbo berkembar yang menghasilkan 585 PS dan 750 Nm. Enjin ini digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 197 PS dan 480 Nm, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 748 PS dan 1,000 Nm.
Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan. Prestasi yang ditawarkan membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 3.8 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.
Sistem plug-in hybrid ini menggunakan bateri berkapasiti 25.7 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 83 km mengikut piawaian WLTP. Dalam mod elektrik, kenderaan ini boleh mencapai kelajuan sehingga 140 km/j. Untuk pengecasan, ia menyokong pengecas AC sehingga 11 kW, yang membolehkan bateri dicas penuh dari kosong dalam tempoh sekitar dua jam 45 minit.
Menurut BMW Malaysia, XM Label turut menerima talaan semula casis bagi meningkatkan maklum balas pemanduan, selain penambahan penebat akustik untuk keselesaan kabin yang lebih baik. Sistem suspensi terdiri daripada tetapan double wishbone di hadapan dan multi-link di belakang, digabungkan dengan sistem Adaptive M Suspension Professional yang menampilkan penyerap hentak kawalan elektronik serta sistem penstabil olengan aktif 48 volt.
Dari segi penampilan, model ini hadir dengan pilihan empat warna kemasan matte daripada rangkaian BMW Individual, iaitu Frozen Tanzanite Blue, Frozen Marina Bay Blue, Frozen Black dan Frozen Brilliant White. Ia turut dilengkapi fungsi Welcome Light Carpet yang dikemas kini dengan animasi baru, serta rim aloi 23 inci Style 1096 M berwarna hitam berkilat.
Bahagian dalaman pula menampilkan kemasan kulit BMW Individual Merino dengan pilihan empat warna, termasuk Night Blue, Deep Black, Deep Lagoon dan Silverstone. Semua varian turut dilengkapi tempat duduk jenis Comfort sebagai ciri standard.
The post BMW XM Label di Malaysia – PHEV dengan kuasa 748 PS, tork 1,000 Nm, casis dipertingkat, RM1.65 juta appeared first on Paul Tan’s Automotive News.







































