Indonesia memberi jaminan bahawa harga bahan api bersubsidi akan dikekalkan pada paras semasa sehingga akhir tahun ini, laporan Kompas.com.

Menurut Menteri Kewangan negara berkenaan, Purbaya Yudhi Sadewa, kerajaan telah menyediakan pelbagai senario untuk meredakan kesan kenaikan harga minyak dunia. “Jadi, yang bersubsidi hingga akhir tahun adalah terjamin. Jadi masyarakat tidak perlu bimbang, tidak perlu takut. Kami sudah membuat pengiraan,” katanya.

Pada 31 Mac lalu, kerajaan Indonesia turut mengumumkan tiada tiada pelarasan harga bahan apo dibuat bagi April. Di mana petrol bersubsidi RON 90 dijual pada harga tetap Rp10,000 (RM2.37) seliter, manakala diesel bersubsidi (biosolar) dihadkan pada Rp6,800 (RM1.61) seliter, dengan kerajaan menanggung perbezaan kos.

Manakala bahan api tidak bersubsidi ditetapkan berdasarkan mekanisme pasaran, dengan Pertamax (RON 92) dijual pada sekitar Rp12,300 (RM2.91) seliter dan Pertamax Turbo (RON 98) kira-kira Rp13,100 (RM3.10) seliter bagi Mac, tertakluk kepada pelarasan berkala selaras harga minyak global, kadar pertukaran asing dan komponen kos lain. Bagi diesel tidak bersubsidi, Dexlite ditetapkan pada Rp14,200 (RM3.36) seliter, manakala Pertamina Dex pada Rp14,500 (RM3.43) seliter.

Walau bagaimana pun, beliau menambah tekanan fiskal tetap diberi perhatian. “Beban subsidi berpotensi meningkat sekiranya harga minyak dunia terus naik. Kenaikan harga tenaga didorong oleh konflik di Timur Tengah. Keadaan ini meningkatkan kos import tenaga Indonesia,” katanya sambil menambah kerajaan menyediakan gabungan dasar fiskal dan tenaga dengan tujuan mengawal tekanan terhadap belanjawan tanpa menaikkan harga bahan api bersubsidi.

The post Indonesia jamin harga bahan api bersubsidi dikekalkan pada paras semasa hingga akhir tahun ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts