Walaupun bukan dibangunkan sepenuhnya dari awal oleh Mazda, kemunculan Mazda 6e tetap mencuri perhatian dalam pasaran EV kerana reka bentuknya yang berbeza dan menarik. Model sedan elektrik ini dipamerkan di Bangkok International Motor Show 2026, dengan harga rasmi di Thailand bermula dari 1.169 juta Baht (RM141,505) bagi varian Long Range RWD Premium dan 1.199 juta Baht (RM145,137) untuk Long Range RWD Exclusive.
Mazda Thailand menggambarkan model ini sebagai kenderaan elektrik penuh pertama mereka yang dibangunkan di bawah pendekatan teknologi pelbagai solusi. Namun begitu, realitinya model ini adalah versi penjenamaan semula kepada Deepal L07. Ia dibangunkan melalui kerjasama rapat antara Mazda dan Changan Automobile di China, dengan unit untuk pasaran Thailand diimport sepenuhnya dari kilang Changan di Nanjing.
Untuk pasaran Thailand, hanya satu pilihan trenkuasa ditawarkan, iaitu pacuan roda belakang dengan satu motor elektrik yang menghasilkan 258 hp dan 290 Nm tork. Pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam 7.9 saat, dengan kelajuan maksimum 175 km/j. Tenaga disalurkan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 77.9 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 654 km mengikut kitaran NEDC, yang dianggarkan hampir 560 km mengikut piawaian WLTP.
Dari segi pengecasan, model ini menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 194 kW. Dengan pengecasan DC, bateri boleh dicas dari 30% ke 80% dalam masa sekitar 15 minit, memberikan tambahan jarak sejauh 235 km (NEDC).
Mazda turut menegaskan bahawa model ini masih mengekalkan DNA pemanduan jenama tersebut, dengan talaan casis yang dibangunkan oleh jurutera Mazda sendiri. Ia dilengkapi sistem suspensi khas termasuk penyerap hentak, spring, lengan wishbone hadapan serta struktur subframe yang unik, selain agihan berat 50:50 untuk keseimbangan yang lebih baik.
Dari segi dimensi, Mazda 6e berukuran 4,921 mm panjang dan 1,890 mm lebar, menjadikannya lebih panjang tetapi sedikit lebih sempit berbanding Tesla Model 3. Jarak rodanya pula ialah 2,895 mm, sedikit lebih panjang daripada Tesla Model 3. Ruang but menawarkan kapasiti 330 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,074 liter apabila tempat duduk belakang dilipat, selain ruang simpanan tambahan 70 liter di bahagian hadapan (frunk).
Reka bentuk luaran menampilkan ciri moden seperti pintu tanpa bingkai, rim aloi 19 inci dengan tayar Michelin e-Primacy, pintu but elektrik (dengan konfigurasi hatchback) serta spoiler belakang aktif yang boleh naik dan turun secara automatik.
Di dalam kabin, ia dilengkapi paparan instrumen digital 10.2 inci dan skrin infotainmen bersaiz 14.6 inci yang dikuasakan cip Qualcomm 8155 bersama memori 12GB RAM. Sistem audio premium Sony dengan 14 pembesar suara turut disediakan, termasuk pembesar suara pada perehat kepala hadapan. Bumbung kaca panoramik dibahagikan kepada dua bahagian dengan tirai elektrik.
Dari aspek keselamatan, Mazda 6e hadir dengan pakej bantuan pemandu penuh (ADAS) serta sembilan beg udara termasuk beg udara tengah. Pilihan warna termasuk Melting Copper, Machine Grey, Crystal White Pearl, Jet Black, Aero Grey dan warna ikonik Soul Red Crystal. Kemasan dalaman yang ditawarkan termasuk gabungan kulit Nappa dan suede berwarna coklat, selain pilihan serba hitam.
Secara keseluruhan, Mazda 6e menawarkan pakej lengkap seperti kebanyakan EV dari China, tetapi dengan sentuhan rekaan dan talaan pemanduan Mazda. Gabungan ini dilihat menarik, terutama memandangkan China kini berada di hadapan dalam pembangunan teknologi EV. Persoalannya, adakah model ini sesuai untuk pasaran Malaysia dan mampu menarik minat pembeli tempatan?
The post Mazda 6e di BIMS 2026 – EV berasaskan Deepal L07, bateri 77.9 kWh, jarak gerak WLTP lebih 500 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





































