Meskipun ramai yang masih bercuti sempena Hari Raya, beberapa orang rakan sekerja kami berada di Thailand untuk liputan langsung acara Bangkok International Motor Show 2026. Antara model yang mencuri tumpuan pada pembukaan liputan kali ini ialah Toyota Land Cruiser FJ, iaitu model Land Cruiser paling kecil yang pernah diperkenalkan setakat ini.
Model ini pertama kali didedahkan pada Oktober tahun lalu dan dijadualkan memasuki pasaran Thailand pada penghujung bulan ini. Walaupun beberapa unit dipamerkan dengan gaya berbeza di acara tersebut, ia sebenarnya hanya ditawarkan dalam satu varian sahaja, iaitu 4WD 2.7, dengan harga bermula 1.269 juta Baht, bersamaan kira-kira RM152,000. Model lima tempat duduk ini membawa maksud “Freedom & Joy” bagi singkatan FJ dan akan dipasang di Thailand sebelum eksport ke Jepun bermula sekitar pertengahan tahun ini.
Binaan asas Land Cruiser FJ ini menggunakan platform ladder frame IMV0, menjadikannya dikategorikan sebagai SUV berasaskan trak di Thailand. Dimensinya ialah 4,610 mm panjang, 1,855 mm lebar dan 1,890 mm tinggi dengan jarak roda 2,580 mm. Ini menjadikannya lebih panjang, lebar dan tinggi berbanding Toyota Corolla Cross, namun dengan jarak roda yang sedikit lebih pendek.
Rekaan luarannya jelas menampilkan karakter lasak, dengan bentuk berkotak yang memberi penghormatan kepada Toyota FJ Cruiser. Bahagian hadapan menampilkan tulisan Toyota pada gril bersama lampu nyalaan siang berbentuk C, dengan pilihan lampu bulat gaya retro.
Di bahagian sisi, garisan tingkap bertingkat dan tiang C berbentuk C yang menonjol memberikan identiti tersendiri, manakala bahagian belakang dilengkapi pintu but jenis bukaan sisi berbentuk oktagon yang turut menempatkan tayar simpanan. Elemen plastik hitam pada bampar dan badan menambahkan lagi imej lasak model ini.
Di dalam kabin, reka bentuk papan pemuka mengambil inspirasi daripada Toyota Hilux Champ, dengan sentuhan daripada Toyota Land Cruiser 250. Antara kelengkapan utama termasuk stereng tiga jejari bersegi, paparan instrumen berwarna tujuh inci, skrin sentuh tengah bersaiz 12.3 inci, sistem audio enam pembesar suara serta penyaman udara automatik dua zon dengan penapis PM2.5. Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto turut disediakan.
Kemasan dalam menggunakan kulit sintetik hitam, dengan tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan hala dan tempat duduk penumpang hadapan larasan manual empat hala. Terdapat juga tiga port USB jenis C. Ruang but pula dilengkapi panel MOLLE seperti yang digunakan tentera Amerika Syarikat, memudahkan pemasangan peralatan aktiviti luar seperti perkhemahan.
Untuk pasaran Thailand, Land Cruiser FJ menggunakan enjin 2TR-FE 2.7 liter empat silinder tanpa turbo yang sama seperti pada Toyota Fortuner. Enjin ini menghasilkan 166 PS pada 5,200 rpm dan 245 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dengan mod penukaran manual.
Sistem pacuan semua roda separuh masa dengan mod low range turut disertakan, lengkap dengan tombol kawalan yang diambil daripada Hilux. Keupayaan offroad bukan sekadar kosmetik, kerana model ini telah menjalani ujian lasak secara menyeluruh bagi memastikan prestasi dan ketahanan. Struktur badan turut diperkukuh dengan tambahan sokongan bawah lantai bagi meningkatkan kestabilan dan pengendalian, selari dengan jangkaan pembeli dalam segmen ini.
Dengan penggunaan platform IMV dan pemasangan di Thailand, tidak mustahil Land Cruiser FJ akan memasuki pasaran Malaysia. Berdasarkan harga di Thailand, model ini dilihat berpotensi untuk ditawarkan di sini, khususnya bagi mereka yang mahukan kenderaan bergaya lasak tetapi masih sesuai digunakan dalam persekitaran bandar.
The post Toyota Land Cruiser FJ di Thailand – satu varian 4WD, enjin NA 2.7L 166 PS/245 Nm, 6AT, harga dari RM152k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















































