Mahkamah Agung Rakyat China memutuskan bahawa pemandu manusia kekal bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenderaan yang dipandu, walaupun kenderaan tersebut dilengkapi sistem bantuan pemanduan. Keputusan ini dibuat sebagai langkah memperketatkan peraturan keselamatan susulan satu insiden berprofil tinggi pada Mac tahun lalu yang mengorbankan tiga nyawa, lapor Channel News Asia.
Kes rujukan bagi keputusan ini melibatkan satu penghakiman pada September lalu di wilayah Zhejiang, China. Dalam kes tersebut, seorang pemandu dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bergantung sepenuhnya kepada fungsi bantuan pemanduan ketika memandu dalam keadaan mabuk. Menurut laporan mahkamah, individu berkenaan memasang alat khas bagi meniru sentuhan tangan pada stereng, menetapkan kenderaan untuk bergerak secara automatik, sebelum bertindak tidur di tempat duduk penumpang.
Mahkamah Agung Rakyat China dalam penghakimannya menegaskan bahawa sistem bantuan pemanduan dalam kenderaan tidak boleh menggantikan pemandu sebagai subjek utama pemanduan. Walaupun teknologi sedemikian mampu membantu mengawal kenderaan, pemandu masih merupakan individu yang melaksanakan tugas pemanduan dan perlu memastikan keselamatan ketika berada di jalan raya.
Dengan keputusan terbaru ini, ia kini menjadi piawaian undang-undang di seluruh China. Mahkamah-mahkamah rendah diarahkan untuk menjadikan penghakiman tersebut sebagai rujukan dalam kes-kes seumpamanya pada masa akan datang.
Ketetapan ini merupakan antara langkah terkini China dalam memperkemas aspek keselamatan automotif. Sebelum ini, negara berkenaan turut mengumumkan larangan terhadap penggunaan pemegang pintu tersembunyi serta stereng jenis yoke. Peraturan baru itu dijadualkan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2027.
Bagi pemegang pintu tersembunyi, peraturan yang disemak semula menetapkan bahawa ruang lekuk sekurang-kurangnya berukuran 6 sentimeter panjang, 2 sentimeter lebar dan 2.5 sentimeter dalam perlu disediakan bagi membolehkan tangan memegang pemegang dengan selamat. Sementara itu, stereng pula diwajibkan menjalani ujian impak di 10 titik berbeza di sekeliling, termasuk bahagian tengah atas. Keperluan ini secara tidak langsung menolak penggunaan stereng gaya yoke yang tidak mempunyai bahagian atas penuh.
The post Mahkamah China putuskan pemandu bertanggung jawab apabila guna teknologi pemanduan autonomous appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















