Aplikasi baharu JustGo telah dimuat turun oleh kira-kira 200,000 pengguna untuk sistem pembayaran tol terbuka menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) yang diperkenalkan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), laporan Harian Metro.

Buat setakat ini, projek rintis untuk sistem pembayaran tol ANPR tersebut dilaksanakan di bahagian utara yang melibatkan sembilan tol jajaran Hutan Kampung ke Sungai Dua.

JustGO menerusi kenyataannya berkata, PLUS melalui aplikasi JustGO memperkenalkan konsep kebebasan memilih lorong yang membolehkan kenderaan berdaftar masuk dan keluar melalui mana-mana lorong tol tanpa perlu disesuaikan dengan kaedah pembayaran tertentu.

Aplikasi JustGo telah dimuat turun 200,000 pengguna untuk sistem pembayaran tol ANPR di PLUS

“Nombor plat kenderaan akan dikesan secara automatik apabila melalui lorong tol dan caj diproses serta dipautkan terus kepada kaedah pembayaran pengguna melalui aplikasi mudah alih berkenaan. Bagi menggunakan sistem ini, pengguna hanya perlu muat turun dan mendaftar di aplikasi terbabit. Tiada pemasangan peranti dan kos permulaan dikenakan kepada pengguna,” kata JustGo.

Menurut PLUS, pengguna berdaftar tidak lagi terikat kepada lorong khas tertentu, sebaliknya boleh memasuki dan keluar melalui mana-mana lorong tol di sembilan plaza tol iaitu Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua.

“Meliputi jarak 87.7 kilometer, fasa pertama ini dijangka melancarkan aliran trafik di plaza tol serta mengurangkan risiko pertukaran lorong saat akhir. Kamera ANPR yang dipasang di plaza tol akan mengesan nombor plat kenderaan bagi membolehkan caj tol diproses secara automatik melalui platform pembayaran mudah alih yang dipautkan kepada kaedah pembayaran pilihan pengguna,”kata PLUS.

Disokong oleh kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, sistem ini direka untuk mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan termasuk cuaca, kelajuan, sudut pandangan serta nombor plat tidak standard, dan akan terus meningkatkan tahap ketepatannya dari semasa ke semasa.

Aplikasi JustGo telah dimuat turun 200,000 pengguna untuk sistem pembayaran tol ANPR di PLUS
Aplikasi JustGo telah dimuat turun 200,000 pengguna untuk sistem pembayaran tol ANPR di PLUS

Untuk menggunakan sistem ini, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi JustGo, mendaftarkan kenderaan, menghubungkan kaedah pembayaran pilihan seperti kad debit atau kredit, dan memandu seperti biasa, tanpa memerlukan sebarang peranti tambahan serta tanpa kos pendahuluan kepada pengguna.

Menurut PLUS lagi, kaedah pembayaran tambahan seperti e-dompet dan perbankan dalam talian akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat. Selain urusan pembayaran tol, aplikasi JustGo turut menyediakan kemudahan e-invois untuk memudahkan urusan pengguna. Sementara itu, kaedah pembayaran tol sedia ada seperti Touch ‘n Go, SmartTAG dan RFID masih boleh digunakan seperti biasa.

Sejak September 2024, PLUS telah menjalankan ujian sistem pembayaran ANPR secara menyeluruh. Hasil ujian menunjukkan pengesanan yang lebih pantas berbanding sistem tol sedia ada berikutan hasil liputan kamera yang lebih luas di plaza tol.

“Ujian ini dilaksanakan dengan kerjasama rapat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta konsesi lebuhraya lain. Sepanjang tempoh pelaksanaan projek rintis, palang tol akan kekal digunakan. Pengguna dinasihatkan untuk mengekalkan kelajuan antara 20 hingga 25 km/j ketika melalui plaza tol tanpa perlu berhenti,” kata PLUS.

The post Aplikasi JustGo telah dimuat turun 200,000 pengguna untuk sistem pembayaran tol ANPR di PLUS appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts