Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengesahkan kerajaan tidak bercadang menggantikan subsidi bahan api di bawah skim Budi95 dengan rebat tunai sebagai insentif untuk menggalakkan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) atau hibrid.
Beliau berkata, langkah itu akan mengubah tujuan asal pelaksanaan Budi95 dan berpotensi menjejaskan keberkesanan penyasaran subsidi kepada kumpulan yang masih bergantung kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman, laporan Bernama.
“Objektif utama Budi95 adalah beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar dan memastikan bantuan bahan api terus disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan bergantung kepada petrol sebagai sumber pendapatan atau keperluan harian. Budi95 bukan bertujuan untuk menggalakkan peralihan pemandu kepada EV atau hibrid,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Dr Lingeshwaran R. Arunasalam yang ingin mengetahui sejauh mana keberkesanan kuota 600 liter dalam menggalakkan peralihan pemandu kepada EV atau hibrid.
“Keberkesanan pelaksanaan Budi95 dinilai berdasarkan keupayaannya mengurangkan ketirisan, melindungi kumpulan sasaran selain mengekalkan kestabilan pelaksanaan dari segi pengalaman pengguna memanfaatkan subsidi Budi95. ,” katanya.
Amir Hamzah berkata, dasar peralihan kepada EV dan hibrid ditangani melalui rangka kerja dan inisiatif berasingan termasuk pembangunan infrastruktur pengecasan dan pelaksanaan Dasar Automotif Nasional.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap dasar mencapai objektif masing-masing tanpa bercanggah antara satu sama lain,” katanya.
The post Tiada rancangan tukar subsidi Budi95 dengan rebat tunai sebagai insentif EV atau hibrid – Amir Hamzah appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















