Akhirnya, selepas tempahannya dibuka bulan lalu, dan lima bulan selepasnya kembarnya iaitu Perodua Traz diperkenal ke pasaran tempatan, hari ini secara rasmi Toyota Yaris Cross dilancarkan di Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua varian bermula dengan Yaris Cross 1.5S dijual pada harga RM99,900, diikuti varian tertinggi Yaris Cross 1.5S Hybrid berharga RM109,900.
Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran. Kedua-dua varian ini dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) meenrusi kilang Toyota di Bukit Raja, Shah Alam dan UMW Toyota memberikan waranti kenderaan lima-tahun tanpa had perbatuan untuk kedua-dua varian, manakala untuk varian tertinggi ia turut diberikan waranti sistem hibrid (termasuk bateri, inverter dan unit pengurusan kuasa) selama lapan-tahun.
Pembeli juga boleh memilih pakej servis tambahan sama ada untuk tempoh tiga tahun atau 60,000 km pada harga RM2,350, atau lima tahun atau 100,000 km pada harga RM3,650. Bagi varian hibrid, waranti sistem hibrid turut boleh dilanjutkan selama dua tahun lagi dengan bayaran RM2,500.
Bagi yang belum mengetahui, Toyota Yaris Cross untuk pasaran ASEAN ini merupakan model yang berbeza dari Yaris Cross pasaran Eropah dan Jepun yang dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Ini kerana untuk rantau kita Yaris Cross diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) sama seperti Vios dan Veloz generasi baharu serta beberapa model lain, di mana ia membuat kemunculan sulung global di Indonesia pada 2023.
Dengan perbezaan harga sekitar RM18k antara varian paling tinggi Traz dan varian paling asas Yaris Cross, apa yang anda dapat sekiranya membeli SUV segmen-B dengan lencana Toyota ini? Kedua-dua varian Yaris Cross hadir dengan paparan instrumen digital dengan skrin TFT LCD tujuh inci, skrin infotainmen bersaiz 10.1 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta rim aloi dua tona bersaiz 18 inci yang dibalut dengan tayar 215/55R18.
Sebagai perbandingan varian tertinggi Perodua Traz hanya diberikan kluster instrumen analog dengan skrin MID TFT 4.2-inci, skrin infotainmen 9.0-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto sambungan wayar serta rim aloi 17-inci.
Yaris Cross Hybrid pula datang dengan pengecas telefon tanpa wayar ditawarkan sebagai ciri standard, manakala varian petrol boleh mendapatkannya sebagai pilihan tambahan pada harga RM380. Kedua-dua varian juga boleh dilengkapi perakam video digital menghadap belakang pada harga yang sama.
Selain itu kedua-dua varian Yaris Cross pasaran Malaysia ini juga diberikan rel bumbung, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, lampu suasana kabin berwarna biru pada konsol tengah dan kemasan pintu, upholsteri kulit sinetik dan roda stereng balutan kulit.
UMW Toyota turut membekalkan Yaris Cross ini dengan sistem telematik yang digandingkan bersama aplikasi Toyota MY bagi memberikan pemilik maklumat termasuk kedudukan kenderaan pada masa sebenar.
Yaris Cross menampilkan ukuran dengan dimensi panjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,615 mm dan juga jarak antara roda sejauh 2,620 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, Yaris Cross ini hanya 20 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar, 6 mm lebih rendah berbanding Proton X50, namun hadir dengan jarak roda 20 mm lebih jauh dari SUV segmen-B dari Proton berkenaan.
Berbanding dengan ‘adiknya’ pula iaitu Toyota Raize/Perodua Ativa, Yaris Cross ini adalah 245 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar, 20 mm lebih rendah, dan jarak roda 95 mm lebih jauh. Manakala berbanding ‘abangnya’ iaitu Corolla Cross pula, Yaris Cross ini adalah 150 mm lebih pendek, 55 mm kurang lebar serta jarak roda 20 mm lebih dekat. Ia juga menampilkan kelegaan tanah 210 mm, membolehkan ia meredah air pada kedalaman 600 mm, dakwa UMW Toyota.
Untuk anda yang mahukan but yang besar dari sebuah SUV segmen-B, Yaris Cross merupakan antara model yang perlu anda ambil perhatian kerana ruang kargo 471 liter yang dibekalkan adalah antara yang paling besar dalam kelasnya. Malah ia adalah lebih besar dari ruang but Corolla Cross yang menawarkan but berkapasiti 440 liter. Ruang but ini juga dilindungi dengan tonneau cover yang boleh digulung bagi memastikan barangan yang diletakkan pada bahagian tersebut lebih selamat dari pandangan luar.
Dari segi rekaan, Yaris Cross ini seakan Corolla Cross dalam sekala lebih kecil. Pada bahagian muka, ia menerima gril seakan Corolla Cross – berbeza dengan gril Traz yang berbentuk heksagon – tetapi diapit dengan lampu hadapan yang lebih nipis dan tajam, menampilkan jalur LED untuk lampu nyalaan siang bina dalam.
Pada bahagian sisi, cermin tingkap paling belakang menampilkan garis bawah yang ‘sikat’ ke atas, selari dengan rekaan sisi lampu belakang. Ia juga menerima rel bumbung dan juga panel overfender pada setiap ruang tayar seperti pada Corolla Cross.
Manakala di belakang, Yaris Cross nampak lebih sporty dari Corolla Cross dengan menampilkan rekaan lampu dan juga garis-garis yang lebih tajam. Pada bahagian ini Yaris Cross dan Traz dibezakan dengan bar di atas perumah nombor pendaftaran di mana SUV Toyota ini menampilkan kemasan warna badan, sementara kembarnya dari Perodua menampilkan kemasan hitam.
Bagi Yaris Cross 1.5S, ia masih menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Traz iaitu enjin 1.5 liter 2NR-VE empat silinder tanpa pengecas turbo yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT yang memacu roda hadapan.
Manakala Yaris Cross 1.5S Hybrid pula ia diberikan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Vios HEV yang menggandingkan enjin 2NR-VEX 1.5 liter NA kitaran Atkinson empat silinder yang menghasilkan 91 PS dan tork maksima 121 Nm, dan juga motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm.
Secara keseluruhan, sistem HEV ini menghasilkan kuasa gandingan 111 PS, dan ia disalur ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Bagi motor elektrik, ia menerima kuasa yang dibekalkan dari bateri lithium-ion berkapasiti 4.3 Ah. Jadi dengan saiz dan juga unit rangkaian kuasa yang dibekalkan, Yaris Cross ini juga sebenarnya menawarkan harga yang kompetitif untuk bersaing dengan satu lagi SUV segmen-B bukan nasional iaitu Mitsubishi XForce.
Seperti biasa versi varian hibrid ini diberikan tangki petrol yang lebih kecil iaitu 36 liter berbanding 42 liter pada versi biasa, kerana untuk hibrid ia memerlukan ruang untuk bateri lithium ion. Namun versi dengan sistem elektrifikasi ini turut menampilkan penggunaan bahan api lebih baik iaitu hanya 27.8 km/l.
Bagi sistem keselamatan, Toyota Yaris Cross pasaran Malaysia diberikan enam-beg udara dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense (TSS). Fungsi-fungsi berkenaan termasuk brek kecemasan automatik hadapan, amaran keluar lorong, pengelak keluar lorong, kawalan pengekal lorong, amaran pergerakan kenderaan hadapan, kawalan salah tekan pedal, bantuan lampu tinggi automatik dan satu sistem yang tidak ditawarkan pada Perodua Traz iaitu dan cruise control adaptif. Semua ini membolehkan Yaris Cross menerima pengiktirafan ASEAN NCAP lima-bintang.
Untuk pilihan warna luaran, terdapat lima pilihan ditawarkan iaitu Dark Turquoise, Silver Metallic, Attitude Black, Spicy Scarlet SE dan Platinum Pearl White, dengan warna terakhir dengan efek mutiara tersebut dikenakan caj tambahan sebanyak RM400.
GALERI: Gambar rasmi Toyota Yaris Cross 1.5S Hybrid pasaran Malaysia
GALERI: Gambar rasmi Toyota Yaris Cross 1.5S pasaran Malaysia
GALERI: Gambar rasmi Toyota Yaris Cross pasaran Malaysia
The post Toyota Yaris Cross dilancarkan di Malaysia – bermula RM99,900, 1.5L NA & Hybrid, Traz yang lebih ‘mewah’ appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



































































































































































































