Prasarana Malaysia merancang untuk melancarkan lebih daripada 1,045 buah bas elektrik bagi kegunaan operasinya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menjelang tahun 2030, laporan The Star. Menurut pengerusi kumpulan syarikat, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad, bas mesra alam itu merupakan sebahagian daripada tumpuan untuk mewujudkan ekosistem pengangkutan hijau.

“Kami kini hanya mempunyai 15 buah bas elektrik di laluan Bus Rapid Transit (BRT) Sunway yang telah beroperasi sejak 2015,” katanya. Dilancarkan pada 2015, Laluan BRT Sunway merupakan laluan bas bertingkat yang dihubungkan dengan KTM Komuter (melalui Setia Jaya) dan Laluan LRT Kelana Jaya (melalui USJ 7).

Lebih dua tahun lalu, Rapid Bus, anak syarikat Prasarana, berkata ia menyasarkan sehingga 30% daripada barisan basnya terdiri daripada bas elektrik menjelang 2030, dengan sasaran seterusnya mencapai 100% bas elektrik menjelang 2037.

Sebagai persediaan untuk mengendalikan bas pada skala besar, latihan asas dan pendedahan mengenai pemadaman kebakaran bas elektrik akan diberikan kepada kakitangan operasi bagi memastikan mereka dapat bertindak sewajarnya sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini.

“Kecekapan akan menjadi isu utama dalam setiap perkara yang kami lakukan. Kakitangan akan dilatih terlebih dahulu, daripada kru bas hinggalah kepada mereka yang bertanggungjawab memahami pemadaman kebakaran bagi bas elektrik. Kami tidak akan memulakan operasi bas elektrik selagi kami belum benar-benar bersedia. Berdasarkan taklimat awal, termasuk prosedur dan dasar, kami akan memastikan semuanya dipatuhi dengan sebaiknya,” kata Mohd Nasir.

The post Prasarana bakal menggunakan lebih 1,045 buah bas elektrik di KL dan Pulau Pinang menjelang tahun 2030 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts