Sejak penguatkuasaan penuh Vehicle Entry Permit (VEP) di pintu sempadan Malaysia–Singapura mulai 1 Julai lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah memeriksa 65,039 kenderaan dan mengeluarkan 4,634 saman terhadap kenderaan yang datang dari negara berkenaan kerana tiada VEP, dengan jumlah kutipan kompaun sebanyak RM1.39 juta.
Timbalan Ketua Pengarah Perancangan & Operasi JPJ Malaysia, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, pihaknya juga telah mengesan 24,202 pemilik kenderaan asing belum mengaktifkan tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi VEP, laporan Berita Harian.
Katanya, jumlah itu menunjukkan masih ramai pemilik kenderaan asing ingkar untuk mengaktifkan tag RFID walau penguatkuasaan penuh sudah dimaklumkan. Di mana jumlah pemilik kenderaan asing yang belum mengaktifkan RFID ini membabitkan 16,404 kenderaan persendirian individu dan 7,798 persendirian syarikat.

“Sebanyak 159 saman telah dikeluarkan terhadap kenderaan Persendirian Syarikat yang masih berstatus pradaftar VEP bagi tempoh 15 hingga 20 Nov 2025.
“Tindakan ini selaras dengan Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu setiap pemilik kenderaan asing yang disaman wajib menyelesaikan bayaran sebelum keluar dari Malaysia dan bayaran boleh dibuat melalui myEG,” katanya pada sidang media selepas Operasi Khas Penguatkuasaan VEP JPJ di susur keluar, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) kelmarin.
Pada awal bulan ini, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pemilik atau pemandu kenderaan asing khususnya dari Singapura yang gagal memiliki atau mengaktifkan VEP tidak dibenar keluar Malaysia selagi tidak membayar saman.
The post 4,634 kenderaan Singapura yang tiada VEP dikompaun sejak 1 Julai 2025; kutipan saman cecah RM1.39j – JPJ appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















