Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah membongkar ketidakpatuhan cukai sebuah syarikat yang disyaki terbabit dalam rangkaian kartel jual beli kenderaan mewah yang didapati gagal melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan dianggarkan sekitar RM70 juta.
LHDN dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan pihaknya menjalankan operasi secara serentak yang melibatkan tiga lokasi utama di sekitar Lembah Klang iaitu premis perniagaan, kediaman pengarah syarikat dan sebuah firma juruaudit. Menerusi operasi ini, tindakan penggeledahan telah dilakukan bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan ketidakpatuhan cukai.
Siasatan awal mendapati syarikat tersebut gagal melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan dengan jumlah anggaran sekitar RM70 juta. Susulan itu, kes sedang disiasat di bawah kesalahan subseksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 terhadap syarikat dan perenggan 113(1)(a) ACP 1967 terhadap pengarah syarikat, kata LHDN.

“Operasi ini adalah sebahagian daripada tindakan bersasar HASiL dalam memperkukuh pematuhan cukai, khususnya dalam sektor yang melibatkan transaksi bernilai tinggi seperti kenderaan mewah. Ketidakpatuhan yang melibatkan jumlah besar bukan sahaja merencatkan hasil negara malah menjejaskan keadilan sistem percukaian dan tidak harus dipandang ringan.
“HASiL menegaskan bahawa antara kes pelarian cukai yang sedang dan akan diambil tindakan pendakwaan, termasuk kes-kes melibatkan kegiatan perlombongan emas, penipuan (scam), penyalahgunaan status kebajikan untuk mengaburi transaksi, hasil perjudian, aktiviti haram lain, serta perniagaan milik warga asing yang gagal melaporkan pendapatan,” kata Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL.
Tambah beliau, langkah ini menunjukkan komitmen berterusan HASiL untuk memastikan setiap pihak mematuhi peraturan percukaian dan membendung ketirisan hasil negara.
“Justeru, HASIL kekal teguh dalam memastikan integriti sistem percukaian negara terus terpelihara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana cubaan mengelak cukai dan memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai mereka demi kesejahteraan negara dan rakyat,” tambahnya lagi.
The post LHDN bongkar kartel kenderaan mewah yang gagal lapor cukai dianggarkan sekitar RM70 juta appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















