BYD Shark 6 telah membuat penampilan sulung di Malaysia bermula hari ini di acara BYD Tech Discovery 2025 yang sedang berlangsung sepanjang hujung minggu ini bertempat di Plaza Arkadia, Desa Park City. Trak pikap berkenaan menjadi sebahagian daripada model yang dipamerkan, dan menerapkan teknologi Dual Mode Off-road (DMO) Super Hybrid oleh BYD.
Ia pertama kali dipertontonkan di rantau ini ketika Bangkok Motor Show lalu. Awalnya dinyatakan bakal diperkenalkan di sana pada September tahun ini, rancangan pengenalan trak itu kemudiannya di batalkan kerana jumlah tempahan yang terlalu rendah di Thailand.
BYD Shark 6 mempunyai ukuran 5,457 mm panjang, 1,917 mm lebar, 1,925 mm tinggi dengan jarak roda 3,260 mm — saiz yang hampir sama dengan Ford Ranger, dengan Shark 6 lebih tinggi. Shark 6 menggunakan casis ladder frame dengan sistem suspensi depan dan belakang dari jenis double wishbone.

Ruang kargonya mampu menampung kapasiti luas sebanyak 1,450 liter dengan kadar beban 835 kg, sementara kemampuan menunda seberat 2,500 kg.
Sistem DMO Super Hybrid-nya menampilkan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol dengan janaan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 260 Nm, dan digandingkan dengan dua motor elektrik. Digerakkan sebahagian besarnya oleh motor elektrik, enjin berkenaan akan membantu pacuan dalam kelajuan lebih 70 km/j.
Motor depan menjana sebanyak 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan 310 Nm tork, sementara motor di belakang dengan janaan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 340 Nm. Ini menjadikan output akhir sistem hibrid ini sebanyak 436 PS (430 hp atau 321 kW) dan 650 Nm. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan mencapai laju maksimum 160 km/j.
Motor elektrik berkenaan dikuasakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) 29.58 kWj Blade, yang memberikan jarak EV 100 km, dan membantu enjin untuk mencapai jarak keseluruhan sejauh 840 km dengan satu tangki penuh petrol. Untuk pengecasan, Shark 6 menyokong pengecasan AC hingga 7 kW, sementara kadar maksimum untuk pengecasan DC ialah 55 kW — DC membolehkan bateri dicas dari 30-80% dalam masa 25 minit. Ada juga fungsi vehicle-to-load (V2L) yang memberikan kuasa sehingga 6 kW.
Melihat kepada bentuk dan jenis soket 3-pin plug yang ada, unit yang ditunjuk ini adalah model spesifikasi Australia. Kelengkapan lain termasuklah lampu utama LED dan rim aloi 18-inci, kluster instrumen digital 10.25-inci, skrin sentuh infotainmen di tengah boleh pusing bersaiz 15.6-inci, kerusi depan larasan elektrik, kawalan pendingin dua zon serta ciri ADAS lengkap.
Belum diketahui sama ada Shark 6 ini akan diperkenalkan di Malaysia, tetapi kehadirannya kali ini memberi petunjuk yang positif — ia mungkin akan diperkenalkan secara rasmi tahun depan. Bagaimanapun, dengan trak pikap di Malaysia diberikan bebas cukai, ia mungkin akan masuk sebagai model CBU terlebih dahulu. Apa pun, ia hanya ditawarkan dalam bentuk PHEV setakat ini.
The post BYD Shark 6 ditunjuk di Malaysia — trak pikap DMO <em>plug-in hybrid</em>, 436 PS/650 Nm, 0-100 km/j 5.7 saat appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















































































































































