Program penyelarasan semula subsidi diesel yang turut dikenali sebagai Budi Madani Diesel (Budi Diesel) telah membolehkan kerajaan jimat sekitar RM5 bilion setahun sejak dilaksanakan pada 10 Jun tahun lalu, jelar Kementerian Kewangan seperti dilaporkan oleh Bernama.

Selain melegakan beban kewangan negara, penjimatan tersebut membolehkan dana diagihkan semula untuk tujuan yang lebih produktif, termasuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat, jelas kementerian terbabit dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Rompin, Abdul Khalib Abdullah yang ingin tahu tentang keberkesanan subsidi bersasar petrol dan diesel dalam mengurangkan beban kewangan negara.

“Antara langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan ialah penambahbaikan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan menaikkan peruntukannya kepada RM13 bilion di bawah Belanjawan 2025, berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya, serta kepada RM15 bilion untuk SARA. Penjimatan tersebut juga digunakan untuk mendanai projek pembangunan yang boleh menambah kapasiti produktif negara,” jelas kenyataan itu.

Kerajaan jimat RM5 bilion laksana Budi Diesel — MoF

Selain itu, lebih daripada 140,000 penerima di bawah kategori Budi Individu dan lebih 180,000 di bawah
Budi Agri-Komoditi telah diluluskan, dengan jumlah bayaran keseluruhan masing-masing sebanyak RM430 juta dan RM350 juta. Setakat 30 September, kad fleet diesel (dengan kadar diesel RM2.15 seliter) telah diluluskan untuk 355,074 kenderaan di bawah 121,618 syarikat.

Setakat jam 4 petang 8 Oktober pula, lebih 10 juta daripada 16 juta warga Malaysia yang layak (62.5%) telah membeli 365.7 juta liter petrol RON 95 dengan harga subsidi RM1.99 seliter (RM727.7 juta jumlah keseluruhan) sejak Budi95 bermula pada 27 September lalu untuk penjawat awam berseragam. Angka terkini adalah 12.4/16.5 juta warga Malaysia (75%) dan 930 juta liter (RM1.85 bilion) setakat 21 Oktober 2025.

Dalam jawapan bertulis yang sama, Kementerian Ekonomi turut menjawab bahawa Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) menjadi satu daripada pangkalan data rujukan untuk pengesahan Budi95 oleh kementerian tersebut. “Berdasarkan data yang tersedia, kerajaan boleh mengenal pasti program campur tangan sosio-ekonomi untuk kelompok sasaran yang khusus. Dalam hal ini, PADU dimanfaatkan sebagai pangkalan data rujukan oleh pelbagai agensi kerajaan yang terlibat.”

The post Kerajaan jimat RM5 bilion laksana Budi Diesel — MoF appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts