Timbalan Menteri Pengangkutan (MoT), Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan bahawa perkhidmatan operasi sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah mengalami gangguan sebanyak 19 kali antara 2 Julai hingga 30 September 2025.
Gangguan terhadap perkhidmatan Aerotrain itu antaranya berkaitan isu teknikal, seperti semboyan dan disebabkan manusia, seperti penumpang cuba membuka pintu, katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Walau bagaimana pun, beliau menjelaskan, ketersediaan perkhidmatan operasi sistem Aerotrain secara keseluruhannya kini berada tahap 99.19% sejak ia kembali beroperasi pada 1 Julai lalu dan kini sedang berada dalam Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) bagi tempoh dua tahun.
“Sehingga 8 Oktober, Aerotrain baharu ini membawa seramai 5.33 juta penumpang dan merekodkan perjalanan sejauh 39,942 km. Buat masa ini, sistem mekanikal dan semboyan (signaling) bagi Aerotrain sedang melalui fasa penyesuaian awal ke arah mencapai kestabilan penuh dalam operasi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai punca kegagalan penyelenggaraan Aerotrain KLIA sehingga kerap rosak dan tindakan segera kerajaan memastikan pengangkutan penumpang di KLIA kembali lancar dan selamat.
“Pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sentiasa bekerjasama dengan pihak pengeluar, iaitu Alstom untuk sentiasa bersedia mengambil tindakan secepat mungkin bagi memastikan kelancaran operasi,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Menjawab soalan tambahan Khairil Nizam mengenai mekanisme pampasan yang dikenakan terhadap pihak pengeluar jika insiden kegagalan sistem berulang, Hasbi memaklumkan, penalti boleh dikenakan sehingga maksimum RM190,000 sebulan jika mereka tidak memenuhi piawaian ditetapkan.
The post Sistem Aerotrain KLIA alami masalah 19 kali antara 2 Julai-30 Sept, ketersediaan operasi capai 99.19%-MoT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.