Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Sabri Seman menjelaskan kementeriannya mempunyai kuasa sah untuk memeriksa kad pengenalan pengguna bagi melancarkan pelaksanaan program subsidi bersasar Budi Madani RON 95 (Budi95) menerusi Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS), lapor Bernama.
Ini adalah bagi menghindarkan salah guna identiti, dengan pemeriksaan kad pengenalan hanya dilakukan bila perlu, sebagai satu kaedah kawalan dan langkah berjaga-jaga, jelas Mohd Sabri, yang turut menambah bahawa tinjauan menyeluruh sedang dijalankan di semua stesen petrol berlesen di Kuala Lumpur sempena pelaksanaan penuh program Budi95.
“Selari dengan fokus KPDN untuk memperketatkan penguatkuasaan menerusi pengurusan risiko dan penyepaduan digital, 101 pegawai penguatkuasa di Kuala Lumpur telah ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan. Setakat ini, 196 buah stesen minyak telah diperiksa, dan tiada sebarang masalah yang dikesan serta tiada aduan yang diterima berkaitan pelaksanaan SKPS di mana-mana stesen di sini,” ujarnya.
Pengarah KPDN itu juga berkata, pembelian petrol melalui SKPS dan skim Budi95 direkod secara digital dan telus bagi membolehkan peninjauan yang lebih berkesan untuk mengesan aktiviti meragukan, seperti pembelian kerap yang berulang dan dalam jumlah yang banyak.
“Pendekatan ini juga membantu untuk mengelak manipulasi dan ketirisan di sepanjang rantaian bekalan petrol, dan dengan berkesan menghalang penyeludupan seperti yang berlaku sebelum ini,” ujar Mohd Sabri.
The post Budi95: KPDN berhak untuk periksa kad pengenalan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.