Kementerian Kewangan (MoF) berkata kerajaan akan mengumumkan perincian pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 pada hujung bulan depan, laporan Bernama.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Parlimen susulan pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, yang ingin mengetahui pelaksanaan penyaluran semula subsidi termasuk fasa front- dan back-end yang diumumkan oleh Kementerian Ekonomi, dan MoF memaklumkan bahawa mekanisme penyasaran subsidi sedang dibangunkan dan diuji secara aktif bagi memastikan ia beroperasi secara lancar apabila dilaksanakan kelak.
“Ini termasuk penambahbaikan data daripada agensi-agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM). Kerajaan berhasrat untuk mengguna pakai pendekatan yang lebih menyeluruh bagi memastikan subsidi RON 95 sampai kepada kumpulan sasar yang tepat,” kata MoF.
Di bawah mekanisme penyasaran subsidi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai, rakyat Malaysia yang layak boleh menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter melalui pengesahan MyKad. Warga asing dan mereka yang tidak layak pula akan membayar harga pasaran tanpa subsidi (harga semasa adalah antara RM2.61 hingga RM2.69).
Semalam, Menteri Kewangan II merangkap Menteri Ekonomi interim, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mendedahkan bahawa mekanisme tersebut juga akan menggunakan data daripada PADU, yang mengandungi 30.4 juta profil individu.
Maklumat ini merangkumi data demografi, lokaliti, sosioekonomi dan pekerjaan, pendapatan, pendidikan, pemilikan kenderaan, status kemiskinan dan jenis bantuan yang sedang diterima.
The post Perincian pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 akan diumumkan hujung bulan depan – MoF appeared first on Paul Tan’s Automotive News.