Presiden FIA Mohammed Ben Sulayem mengulangi aspirasinya untuk mengembalikan perlumbaan F1 dengan enjin lebih besar seperti sebelum era hibrid, kali ini beliau turut mendedahkan garis waktu untuk rancangan tersebut.

Menurutnya dalam laporan Reuters, F1 mungkin akan menggunakan semula enjin V8 tanpa bantuan turbo seawal 2029, dan ia akan menggunakan bahan api lestari bagi menggantikan unit rangkaian kuasa 1.6 liter V6 dan sistem hibrid eletrik kompleks yang telah digunakan sejak 2013.

“Enjin yang digunakan buat masa sekarang sangatlah rumit, anda takkan faham, dan ia sangat mahal,” kata Ben Sulayem ketika berlangsungnya British Grand Prix di Litar Silverstone hujung minggu lalu.

“R&D cecah 200 juta (dollar), dan enjin sahaja menelan belanja sekitar 1.8 sehingga 2.1, jadi kalau kita hanya guna V8, nanti kita tengok.

“Banyak dari pengeluar menghasilkan V8 untuk kereta mereka, jadi secara komersialnya ia tepat. Berapa kosnya? Anda kurangkan. Sasarannya ialah lebih 50% untuk setiap perkara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dengan menggunakan enjin V8 ia bukan sahaja lebih murah dan lebih logik untuk pengeluar yang menghasilkan kereta produksi menggunakan enjin berkenaan, malah ia juga akan menghasilkan bunyi yang akan mengalu-alukan kembali peminat lama serta mengujakan generasi baharu.

“Bagi kami, V8 akan kembali. Dengan pasukan sekarang, saya sangat optimistik, gembira dengannya. FOM (Formula One Management) sangat memberi sokongan, pasukan-pasukan akan merealisasikannya segera.”

“Kami perlu melakukannya tak lama lagi…anda perlukan tiga tahun, jadi harap-harapnya menjelang 2029 kita ada sesuatu di sana, tetapi bahan api juga sangat mahal, dan kami perlu berhati-hati dengan perkara itu. Transmisi juga sangat mahal,” tambah Muhammed.

Dengan bayangan yang diberikan Mohammed ini, kereta generasi baharu F1 dengan undang-undang teknikal baharu yang akan mula digunakan tahun hadapan mungkin hanya digunakan selama tiga tahun sahaja iaitu sehingga 2028. Bagi musim 2026, enjin 1.6 liter V6 dengan pengecas turbo masih akan digunakan, tetapi ia akan beroperasi dengan bahan api lestari 100% serta bantuan kuasa elektrik yang lebih besar akan diberikan oleh sistem hibrid.

The post Presiden FIA sasar F1 kembali guna enjin V8 dengan bahan api lestari pada 2029; lebih menarik, kos rendah appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts