Zeekr mencipta sejarah tersendiri apabila model SUV mewahnya, 9X, menjadi kereta pertama dari China yang menerima sentuhan modifikasi rasmi daripada Mansory. Model yang dikenali sebagai “Zeekr 9X by Mansory” itu diperkenalkan sempena acara Auto China dalam versi ‘First Edition’, sekaligus menandakan perkembangan baru bagi syarikat talaan terkenal dari Jerman tersebut.
Seperti dijangka daripada Mansory, SUV ini menerima pelbagai komponen gentian karbon pada bahagian luaran bagi menyerlahkan imej lebih agresif dan eksklusif. Antara perubahan yang dilakukan termasuk rekaan baru pada bawah bampar hadapan, lengkuk roda dengan laluan udara, skirt tepi, spoiler bumbung serta bampar belakang bersama diffuser dan lampu brek tengah.
Salah satu tarikan utama pada model ini ialah pilihan pintu jenis “suicide” yang menggunakan bukaan berengsel belakang seperti yang terdapat pada Rolls-Royce Cullinan. Menurut Mansory, proses pengubahsuaian tersebut memerlukan kerja kejuruteraan yang rumit kerana kedudukan engsel pintu perlu dipindahkan dari tiang B ke tiang C.
Mansory turut menjelaskan bahawa semua modifikasi mekanikal dilakukan tanpa menjejaskan ciri keselamatan standard kenderaan. Beberapa panel badan baru juga dibangunkan khas sebelum proses cat semula dilakukan bagi memastikan hasil akhir tampak sempurna dan seolah-olah dipasang terus dari kilang.
Bahagian belakang pula menerima sistem ekzos baru dengan dua muncung pada setiap sisi. Mansory mendakwa sistem tersebut memberikan bunyi yang lebih garang dan sepadan dengan prestasi tinggi SUV ini. Walaubagaimanapun, tiada perubahan dilakukan pada sistem rangkaian kuasa plug-in hybrid tiga motor pada Zeekr 9X.
Kuasa keseluruhan kekal pada 1,400 PS dan 1,410 Nm tork, membolehkan SUV mewah ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 240 km/j.
Zeekr 9X by Mansory juga menjadi model pertama yang menggunakan rim baru Mansory FT.19 bersaiz 24 inci. Rim forged tersebut dipadankan dengan tayar 295/30, sekaligus memberikan penampilan yang lebih dramatik dan menonjol, selari dengan identiti Mansory yang terkenal dengan gaya modifikasi ekstrem.
Di ruang kabin, Mansory meneruskan tema kemewahan dengan sentuhan lebih eksklusif. Walaupun Zeekr 9X standard sememangnya sudah tampil premium, versi ini menerima kemasan kulit penuh dengan tema warna cerah, logo bercahaya pada keempat-empat panel pintu, penggunaan gentian karbon tambahan, stereng khas Mansory, karpet eksklusif serta pedal sport gentian karbon.
Zeekr sebelum ini telah mengesahkan bahawa 9X akan memasuki pasaran Malaysia dan dijangka tiba sekitar penghujung tahun 2026. Dengan kehadiran versi talaan daripada Mansory ini, tidak mustahil akan ada pembeli tempatan yang mahukan SUV elektrik mewah dengan penampilan lebih unik dan eksklusif
The post Zeekr 9X kereta China pertama terima ubah suai Mansory – pintu suicide, banyak gentian karbon appeared first on Paul Tan’s Automotive News.









































