Pasukan lumba dari Malaysia, Wing Hin Motorsports bakal turun ke pusingan pertama kejohanan Thailand Super Series (TSS) 2026 di Chang International Circuit in Burriram hujung minggu ini, 21 hingga 24 Mei dengan empat jentera lumba yang bertanding dalam pelbagai kategori.
Armada Wing Hin ini akan diketuai oleh jentera Toyota GR Supra GT4 Evo2 #39 sebagai juara bertahan dalam kelas GT4, di mana ia masih akan dikemudi oleh Mitchell Cheah. Namun ada sedikit rombakan dibuat di mana pasangan Cheah musim lalu iaitu Naquib Azlan akan bertindak sebagai jurutera pemandu dan jurulatih pemandu pasukan Wing Hin, dan tempat yang ditinggalkan Naquib berkenaan akan digantikan dengan pemandu dari Hong Kong, Ryan Wong.
“Selepas memenangi kejuaraan dalam musim kemunculan sulung saya dalam GT4, saya gembira dapat kembali bertanding di Thailand tetapi kali ini kami beralih daripada gandingan perak/perak pemandu kepada gandingan perak/gangsa. Persediaan telah berjalan lancar dan sudah tentu kami akan menambah baik dari semasa ke semasa, jadi sudah tentu sasaran saya adalah untuk mempertahankan dan memenangi gelaran kedua berturut-turut,” kata Mitchell Cheah.
“Ia tidak akan mudah, tetapi saya pasti akan memberikan yang terbaik seperti biasa sebagai pasukan dan pemandu yang kompetitif. Ini adalah sukan berpasukan dan semua orang telah bekerja keras di sebalik tabir untuk sampai ke tempat kami hari ini dan saya harus mengucapkan terima kasih kepada Wing Hin Motorsports atas sokongan yang sangat besar,” tambahnya.
Cheah dan Wong akan berhadapan dengan cabaran besar tahun ini untuk menentang sekurang-kurangnya lima Toyota GR Supra GT4 EVO2 dari pasukan lain, serta penyertaan jentera-jentera Eropah termasuk Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport, Mercecdes-AMG GT4, dan Aston Martin Vantage.
Selain dari GT4, Wing Hin turut akan bertarung dalam kelas Super Touring dengan dua Toyota Vios dan dua Toyota Yaris. Vios pertama dengan nombor #36 akan dipandu oleh pasangan pelumba muda Malaysia iaitu Nabil Azlan dan Amer Harris, manakala Vios #9 merupakan jentera program perlumbaan pelanggan Wing Hin yang dipandu oleh Nick Teo dan Ian Wong.
Bagi Yaris #38 pula akan menampilkan gandingan pelumba baru dan lama Malaysia, iaitu pasangan Dannies Ng yang sudah berlumba dengan Wing Hin buat tahun ke-sembilan, dan juara kelas Sporting dalam perlumbaan Vios Challenge 2025 iaitu Jwan Hii. Ini merupakan penyertaan sulung Hii dalam TSS di mana pelumba yang berusia 24 tahun tersebut juga merupakan graduan Toyota Gazoo Racing Malaysia Rookie musim pertama.
Manakala bagi Yaris #39, ia akan dipandu oleh dua orang pelumba Thailand iaitu Varunchit Wattanathanakun (Monai) dan juga pelumba wanita Mekkaradkeeta Kalantananda (Ni-Ne), di mana kedua-dua pelumba ini kini aktif berlumba dalam Vios Challenge di Malaysia
Siri perlumbaan Thailand Super Series 2026 ini akan berlangsung sebanyak lima pusingan. Selepas Chang, ia akan beralih ke festival perlumbaan jalanan antarabangsa Bangsaen Grand Prix di Chonburi dari 1-5 Julai untuk pusingan kedua, diikuti Pusingan 3 dan 4 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang masing-masing dari 21-23 Ogos dan 18-20 September, dan pusingan akhir akan kembali ke Litar Antarabangsa Chang dari 30 Okt-1 Nov.
The post Wing Hin M’sports akan ke pusingan 1 Thailand Super Series 2026 dengan 5 jentera termasuk GR Supra GT4 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















