Setahun yang lalu, Toyota ada mendedahkan sebuah GR Corolla dengan rupa lebih agresif ketika ketika berlangsungnya Kejohanan Formula Drift di Long Beach, California, Amerika Syarikat di mana ketika itu ramai yang menjangkakan bahawa ia adalah versi facelift Morizo Edition. Namun semuanya terjawab minggu ini – GR Corolla berkenaan sebenarnya menerima lencana prestasi paling hardcore Gazoo Racing Master of Nürburgring, digelar sebagai GRMN Corolla!
Seperti GRMN Yaris, GRMN Corolla ini juga adalah lebih ringan (1,450 kg berbanding 1,480 kg pada model standard), serta diberikan kit aerodinamik dan juga suspensi yang dibangunkan dan ditala di litar Nürburgring Nordschleife, agar boleh dipandu laju walaupun di atas permukaan yang beralun dan tidak rata seperti permukaan litar dengan nama jolokan ‘The Green Hell’ berkenaan. Menurut Toyota, selain di Nürburgring, pembangunan GRMN Corolla ini juga dibuat ketika Toyota berlumba dalam siri perlumbaan endurance Super Taikyu Series di Jepun.
Kerangka asas GRMN Corolla ini masih menggunakan kerangka sama dengan versi terkini GR Corolla 2026, di mana ia menerima penambahan bahan perekat struktur pada bahagian cantuman kerangka badan – secara keseluruhan versi tingkat taraf GR Corolla ini menerima bahan perekat sepanjang 32.7 meter, atau 13.9 meter lebih panjang dari yang sebelumnya, serta diberikan liang udara tambahan bagi mengurangkan kepanasan ketika kereta dipandu dalam keadaan beban tinggi. Menurut Toyota kedua-dua tingkat taraf tersebut dibuat hasil dari pembangunan GRMN Corolla ini di Nürburgring.
Pada bahagian luaran, GRMN Corolla ini menerima komponen aerodinamik yang lebih agresif berbanding GR Corolla, dan ia sebenarnya kit aero yang sama digunakan oleh kereta lumba GR Corolla Hydrogen yang berlumba di Super Taikyu. Kit yang semuanya diperbuat dari bahan gentian karbon tersebut merangkumi penutup bonet enjin dengan liang udara tambahan, fender hadapan dengan liang tambahan di atas, spoiler sisi bawah bampar hadapan, serta spoiler belakang lebih besar dengan sayap yang boleh dilaras pada lima sudut yang berbeza.
Penampilan luaran GRMN Corolla ini dilengkapkan dengan warna badan istimewa Black Gravite (pilihan warna Gravel hanya ditawarkan di pasaran Amerika Utara dan Australia), logo GRMN serta emblem Toyota yang digelapkan pada hadapan dan belakang, serta rim aloi forged 18-inci pelbagai jejari dalam kemasan Matte Broze dengan serlahan logo GR.
Bukan hanya pada bahagian luar, imej sebuah kereta lumba juga dibawa ke dalam kabin GRMN Corolla ini. Kedua-dua tempat duduk hadapan ditukar kepada tempat duduk bucket penuh eksklusif GRMN yang diperbuat dari bahan polimer gentian-kaca diperkuat (GFRP).
Menurut Toyota, tempat duduk ini bukan sahaja lebih ringan, malah ia dilaras berdasarkan kedudukan pemandu pada kereta lumba Super Taikyu, memberikan kedudukan lebih tetap kepada pemandu, bertahan dalam daya-G sisi yang tinggi, memberikan kedudukan kaki yang optimum untuk menekan pedal klac, memastikan kedudukan pemandu selesa walaupun memakai helmet, serta memudahkan pergerakan keluar dan masuk ke kabin. Manakala tempat duduk belakang dicabut terus bagi mengurangkan beratnya serta menyerlahkan kehadiran bar pendakap badan tambahan yang dipasang merentangi bahagian atas kedua-dua suspensi belakang.
Bahan flocking turut diberikan pada papan pemuka dan juga perapi tiang cermin hadapan seperti kereta lumba bagi mengelakkan berlakunya refleksi cahaya matahari yang boleh mengganggu pandangan pemandu. Selain itu ia juga menerima perapi-perapi kemasan gentian karbon, serta balutan Alcantra pada roda stereng (dengan penanda pukul 12 berwarna merah), tombol dan gaiter gear serta pada pemegang tuil brek tangan, bersama serlahan-serlahan Alumite Red pada tempat duduk, panel pintu, papan pemuka serta jahitan-jahitan upholsteri.
Ia juga menampilkan tandatangan pengerusi Toyota dan juga GR Master Driver iaitu Akio Toyoda (juga dikenali dengan nama alter-ego Morizo ketika berlumba) pada papan pemuka dan juga di dalam panel instrumen digital. Untuk melengkapkan bahagian dalaman GRMN Corolla ini, ia diberikan plat khas yang turut merekodkan nombor siri unik model edisi terhad tersebut.
Untuk suspensi, GRMN Corolla ini menerima spring serta penyerap hentak inverted monotube di hadapan dan upright monotube di belakang (berbanding twin tube pada model biasa) yang ditala bagi memberikan cengkaman lebih baik pada sebelah dalam ketika mengambil selekoh, seterusnya meningkatkan prestasi ketika mengambil selekoh berkelajuan tinggi.
Talaan yang dibuat termasuk mengoptimakan karekteristik pada bump stop, serta mengurangkan strok sehingga satu milimeter pada bahagian hadapan dan belakang untuk keseimbangan yang optimal. Tetapan suspensi berbeza ini menjadikan GRMN Corolla 5 mm lebih rendah berbanding GR Corolla standard, sekaligus memberikan rupa yang lebuh agresif.
Cengkaman jalan model ini juga ditambah baik menerusi pemadanan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih fokus pada pemanduan dalam litar dengan saiz 245/40ZR18, di mana ia turut menjadikan ia 10 mm lebih lebar dari GR Corolla biasa.
Toyota turut membuat talaan semula pada sistem stereng bantuan kuasa elektrik bagi menghasilkan amaun tork bantuan yang diperlukan ketika mengambil selekoh dengan daya-G lebih tinggi, serta talaan pada sistem pacuan semua roda GR-Four bagi memberikan agihan tork ke gandar belakang yang lebih optimal ketika dipandu pada laluan lurus dan meningkatkan kestabilan yang diserasikan bersama input setereng pada kelajuan yang sangat tinggi.
Toyota GRMN Corolla ini masih digerakkan dengan enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo yang menghasilkan kuasa 304 PS. Namun sedikit talaan telah dibuat bagi meningkatkan torknya kepada 415 Nm, berbanding 400 Nm pada GR Corolla biasa. Untuk GRMN Corolla ini, Toyota hanya menawarkan kotak gear manual enam-kelajuan 6 i-MT dengan nisbah gear lebih rapat, tanpa pilihan kotak gear automatik GR-DAT seperti pada model standard.
GRMN Corolla ini juga menerima sistem semburan air pada intercooler, yang mampu menyejukkan unit berkenaan bagi memberikan udara ambilan ke dalam enjin yang lebih sejuk, memperbanyakkan oksigen untuk memberikan pembakaran yang lebih optimum.
Toyota GRMN Corolla ini hanya akan dijual di pasaran Jepun, Amerika Utara dan Australia serta akan dihasilkan dalam jumlah terhad, namun Toyota belum mengumumkan jumlah sebenarnya. Jualannya hanya akan bermula pada 2027, namun untuk pembeli di Jepun, mereka sudahpun boleh membuat permohonan pembelian menerusi GR App yang akan dibuka pada musim luruh 2026.
Toyota turut akan memperkenalkan GR Corolla Morizo RR selepas ini, di mana bahagian luaran model berkenaan menampilkan rupa yang sama seperti GRMN Corolla, tetapi ia hanya ditawarkan dengan kotak gear automatik GR-DAT. Kedua-dua GRMN Corolla dan GR Corolla Morizo RR Concept kini sedang dipamerkan di Fuji Motorsports Forest Welcome Center sehingga 28 Jun nanti.
The post Toyota GRMN Corolla didedah – hanya 6MT, 2 tempat duduk, lebih ringan, kit aero lebih agresif, tork 415 Nm appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





































