Selepas memberi tumpuan kepada keuntungan menerusi penghasilan SUV saiz besar dan sebuah sedan, smart kini kembali kepada asasnya dengan memperkenalkan Concept #2 di Beijing, menjelang pameran Auto China yang akan berlangsung minggu ini.
Model konsep ini jelas mengimbau semula reka bentuk ikonik smart fortwo, dan memberi bayangan kepada model produksi sebenar berupa kenderaan elektrik dua tempat duduk yang dijangka diperkenalkan sepenuhnya di Paris Motor Show Oktober nanti.
Seperti model-model terkini jenama itu, Concept #2 direka oleh Mercedes-Benz, manakala aspek kejuruteraan dibangunkan oleh Geely menerusi usaha sama 50:50 antara kedua-dua pihak. Model ini dibina menggunakan platform Electric Compact Architecture (ECA) baru, dengan panjang hanya 2,792 mm serta radius pusingan sekecil 6.95 meter, menonjolkan ciri praktikal sebuah kereta bandar kompak.
Dari segi rekaan, model ini tidak lagi menampilkan struktur tridion yang sinonim dengan smart sebelum ini. Sebaliknya, ia diterapkan dengan bahasa rekaan moden seperti yang dilihat pada model smart #1, termasuk lampu hadapan berbentuk segi tiga, bumbung terapung dan lampu belakang berprofil bulat.
Reka bentuk keseluruhan kelihatan lebih agresif, dengan elemen gril hadapan digantikan oleh panel tertutup yang dihiasi logo smart serta rekaan tali bersilang, diinspirasikan daripada gaya produk mewah seperti beg Louis Vuitton.
Penampilan sporty turut diperkuat lagi dengan kit badan agresif serta rim bersaiz besar di setiap penjuru. Sebagai model konsep, ia tampil dengan perincian unik seperti kemasan warna putih matte bersama perincian emas, paparan dot matriks di bahagian hadapan dan belakang, serta pemegang pintu berasaskan rekaan label penjagaan fabrik yang memaparkan tulisan “styled by Mercedes-Benz”.
Dari sudut prestasi, Concept #2 dianggarkan mampu mencapai jarak pemanduan hampir 300 km bagi satu cas penuh, berkemungkinan berdasarkan piawaian WLTP. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC dari 10 hingga 80% dalam tempoh kurang 20 minit, selain dilengkapi fungsi vehicle-to-load (V2L) untuk membekalkan kuasa kepada peranti luaran.
Di Malaysia, jenama smart diwakili oleh Pro-Net, anak syarikat kepada Proton, dengan kedua-duanya mempunyai kaitan pemilikan bersama oleh Geely. Dengan perancangan Proton untuk pemasangan tempatan (CKD) model smart yang dikaitkan dengan fasiliti EV baru di Tanjung Malim, tidak mustahil Concept #2 ini berpotensi ditawarkan di pasaran tempatan sebagai kenderaan alternatif dua tempat duduk yang lebih premium berbanding model seperti Proton eMas 5.
The post smart Concept #2 petunjuk kepada EV 2-tempat duduk jarak gerak 300 km, masuk Malaysia bawah Proton? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























