Royal Alloy Gran Turismo kini rasmi memasuki pasaran Malaysia bagi tahun 2026, ditawarkan dalam dua varian iaitu 125S dan 160S. Harga jualan ditetapkan pada RM9,800 untuk model 125S manakala varian 160S pula berharga RM12,800, tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans.
Bagi pilihan warna, Gran Turismo 125S hadir dalam kemasan Matte Silver, Pink dan Ivory. Sementara itu, Gran Turismo 160S ditawarkan dalam pilihan Meteorite Grey, Lemon Yellow dan Dark Jade. Kedua-dua model ini sudah mula tersedia di semua pengedar sah Royal Alloy di seluruh Malaysia, lengkap dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.
Untuk penggerak, skuter ini menggunakan enjin satu silinder, empat injap dengan sistem penyejukan cecair. Varian 125S dilengkapi enjin berkapasiti 124 cc yang menghasilkan 13.14 hp pada 8,500 rpm dan tork 12 Nm pada 6,500 rpm, sementara varian 160S pula didatangkan dengan enjin 158 cc menjana 16.9 hp pada 8,500 rpm dan tork 13.5 Nm pada 5,500 rpm.
Kedua-dua model menggunakan transmisi automatik CVT bersama sistem pacuan tali sawat yang menyalurkan kuasa ke roda belakang. Skuter ini menggunakan rim bersaiz 12 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan belakang.
Dari segi dimensi dan ergonomik, berat keseluruhan ialah 145 kg untuk 125S dan 152 kg bagi 160S. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 750 mm, manakala kapasiti tangki bahan api ialah sembilan liter. Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di bahagian hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.
Sistem brek pula menggunakan cakera hidraulik tunggal di hadapan dan belakang dengan diameter 220 mm, serta dilengkapi sistem ABS dual-channel sebagai ciri standard. Ruang simpanan kecil turut disediakan di bawah tempat duduk, cukup untuk memuatkan sebuah topi keledar jenis open-face.
Paparan maklumat tunggangan disalurkan melalui panel instrumen TFT berwarna yang menyokong fungsi cerminan telefon pintar. Selain itu, skuter ini turut dilengkapi sistem kunci pintar dengan fungsi keyless. Bagi varian 160S, ia menerima ciri tambahan seperti kamera DVR hadapan serta lampu nyalaan siang LED (DRL).
The post Royal Alloy Gran Turismo dilancarkan di Malaysia – skuter rim 12 inci, harga 125S RM9,800, 160S RM12,800 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.































