Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) mengumumkan bahawa bermula 2 November 2026, mana-mana rakyat Malaysia yang yang mempunyai saman trafik atau parkir tertunggak di republik berkenaan berdepan risiko tidak dibenar membuat permohonan atau pembaharuan Permit Masuk Kenderaan (VEP), laporan Berita Harian.
Menurut LTA, kenderaan berdaftar asing yang mempunyai saman tertunggak bagi kesalahan trafik, parkir atau pelepasan emisi kenderaan di Singapura tidak lagi dibenarkan memohon atau memperbaharui VEP mereka. Di mana langkah itu menandakan perubahan daripada amalan semasa yang mana kenderaan asing yang mempunyai saman tertunggak masih boleh memohon VEP tetapi berisiko tidak dibenarkan masuk ke negara itu hanya apabila tiba di pusat pemeriksaan darat Singapura.
“Semua kenderaan berdaftar asing mesti mempunyai VEP yang sah untuk memasuki Singapura, tetapi mulai 2 November ini, kenderaan berdaftar asing yang mempunyai saman tertunggak bagi kesalahan trafik, parkir atau pelepasan emisi kenderaan di Singapura tidak akan dibenarkan memohon atau memperbaharui VEP dengan LTA,” katanya.

Dasar baharu itu dijangka menjejaskan ribuan pemandu Malaysia, khususnya mereka yang berulang-alik setiap hari antara Johor dan Singapura. Justeru, LTA menasihatkan pemandu asing menjelaskan semua saman tertunggak sebelum mengemukakan permohonan atau pembaharuan VEP dan sebelum memasuki Singapura.
“Pemandu boleh menyemak saman tertunggak menerusi AXS Singapura dan membuat pembayaran melalui kiosk AXS, aplikasi mudah alih AXS, laman web agensi atau kaunter khidmat pelanggan.
“Pemandu juga perlu mengemukakan permohonan VEP sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh perjalanan kerana proses pembayaran dan kemas kini sistem boleh mengambil masa sehingga dua hari. Permohonan dan pembaharuan boleh dibuat menerusi OneMotoring Singapura,” jelas LTA lagi dan dalam masa yang sama turut menggesa pemandu Singapura yang mempunyai saman trafik tertunggak di Malaysia supaya menjelaskan saman mereka sebelum memasuki negara ini.
Langkah penguatkuasaan lebih ketat itu dibuat susulan usaha berterusan pihak berkuasa Singapura untuk meningkatkan pematuhan dalam kalangan pemandu asing dan memperkukuh penguatkuasaan trafik rentas sempadan.
The post Rakyat M’sia yang ada saman trafik, parkir tertunggak di S’pura tidak boleh mohon, baharui VEP mulai 2 Nov appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















