Ketegangan berterusan yang masih berlangsung di Asia Barat dijangka akan menjejaskan industri automotif Malaysia, dengan permintaan untuk kenderaan baharu menunjukkan sedikit penurunan sejak konflik bermula, jelas Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema).

Presiden Pekema, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, corak permintaan yang lebih perlahan mula kelihatan selepas tempoh cuti Hari Raya Aidilfitri, yang banyak dipengaruhi oleh ketidakpastian geopolitik global. “Terdapat sedikit penurunan dalam permintaan untuk kereta baru, terutamanya selepas Hari Raya, dan konflik di Asia Barat tersebut juga telah menjejaskan keyakinan pembeli,” ujarnya awal minggu ini.

“Kebanyakan orang mengambil pendekatan tunggu dan lihat dan berhati-hati dalam membuat pembelian,” katanya, sambil menambah bahawa pengguna kini mungkin mengutamakan perbelanjaan penting berbanding komitmen besar seperti pembelian kenderaan atau hartanah.

Permintaan kereta baru menurun selepas Raya; konflik Asia Barat gugat keyakinan pembeli — Pekema

Beliau berkata, dari pemerhatian Pekema, harga kenderaan kekal stabil buat masa ini, memandangkan kebanyakan kenderaan import yang dibaik pulih yang dikendalikannya dibawa masuk dari Jepun, dengan kadar pertukaran mata wang yang masih agak baik berbanding ringgit. Bagaimanapun, beliau menambah bahawa jika konflik Asia Barat itu berterusan, kos penghantaran kemungkinan meningkat dan akhirnya memberi kesan ke atas harga kenderaan.

Beliau menambah, cabaran utama yang dihadapi industri sekarang terletak pada gangguan logistik dan rantaian bekalan, termasuk kesesakan di pelabuhan tempatan, lapor Malay Mail. “Baru-baru ini, kira-kira 1,500 kenderaan terpaksa dipunggah di pelabuhan di Filipina kerana ia tidak dapat diproses di Pelabuhan Klang akibat kesesakan,” katanya.

Berdasarkan perkembangan semasa, beliau berkata Pekema tidak menjangkakan penurunan jualan yang mendadak, sebaliknya prestasi jualan yang mendatar berbanding tahun lalu, dengan sedikit penurunan mungkin berlaku jika keadaan global kekal tidak stabil. “Prestasi jualan untuk kenderaan elektrik Dongfeng tahun lalu adalah sangat menggalakkan, dengan kira-kira 300 unit terjual. Tetapi corak semasa menunjukkan pendekatan tunggu dan lihat dalam kalangan pembeli,” katanya.

The post Permintaan kereta baru menurun selepas Raya; konflik Asia Barat gugat keyakinan pembeli — Pekema appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts